Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

JANGAN TUNGGU DAN LIHAT (PENYAKIT STROK)

 DSC6618

NIBONG TEBAL, 28 Mac 2017 – Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan (UKKK) di sini menganjurkan satu program yang berlandaskan kepada penyakit Strok yang bertajuk Jangan Tunggu dan Lihat (Penyakit Strok) hari ini.

Program kesihatan yang dianjurkan setiap empat bulan ini adalah inisiatif UKKK dalam memberi pendedahan kepada warga kampus akan setiap isu-isu yang berkaitan dengan setiap topik yang dianjurkan.

Pegawai Perubatan UKKK, Dr Menal A.Hamdi melalui ucapan beliau mengharapkan agar program seperti hari ini dapat dijadikan medium secara langsung kepada setiap yang hadir untuk mengetahui lebih lanjut akan gelaja dan punca-punca kepada penyakit Strok.

“Selain daripada peluang untuk bertanya secara langsung kepada Pegawai Pemakanan serta Jurupulih Perubatan yang dijemput khas dari Pergigian Termaju (IPPT) Bertam, kesedaran akan penyakit ini juga sebolehnya cuba dipupuk melalui ceramah-ceramah yang telah kita sediakan pada hari ini,” tambah beliau.

Menal turut memberitahu bahawa penyakit Strok adalah punca kematian ketiga terbesar di Malaysia dan dianggap sebab utama kehilangan upaya yang teruk dengan anggaran seramai 40,000 rakyat Malaysia mengalami strok setiap tahun.

Selain daripada pengedaran risalah-risalah berkenaan Strok dan penyakit-penyakit lain, program selama setengah hari ini turut melibatkan Pegawai Pemakanan, Yusfizahani Md Yusuff dan Jurupulih Perubatan, Muhammad Akasyah Baharum dari IPPT Bertam.

 DSC6612

Yusfizahani menyampaikan ceramah beliau yang bertajuk Pemakanan Sihat manakala Muhammad dan pasukan hadir untuk mendemonstrasikan senaman ringkas yang boleh dilakukan oleh pesakit-pesakit Strok.

Turut hadir adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dan Timbalan Pendaftar di Pejabat Pendaftar, Rohilatifah Harun.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin