Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

NURANI DAN INDAH KEMBARA JUARA TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT DESASISWA USM

Web 1

NIBONG TEBAL, 18 Mac 2017 – Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Desasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) melabuhkan tirai hari ini seterusnya mengangkat wakil dari Desasiswa Nurani dan Desasiswa Indah Kembara sebagai juara Qari dan Qariah.

Mereka yang bergelar johan adalah Qari yang juga pelajar tahun satu dari Desasiswa Nurani, yang mengikuti kursus perubatan, Muhammad Akmal Samsuddin dan Qariah, pelajar tahun satu Pengajian Seni, Wan Nur Zabirah Mohd Zaki dari Desasiswa Indah Kembara.

Diangkat sebagai salah satu aktiviti tahunan USM, majlis yang dianjurkan oleh Desasiswa Lembaran ini menyaksikan sejumlah penyertaan daripada 20 orang peserta yang terdiri daripada 10 Qari dan 10 Qariah dari setiap desasiswa di dalam USM.

Web 2

Menurut Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Dr. Taksiah A. Majid, kemampuan dan kejayaan dalam berterusan menganjurkan majlis seumpama ini membuktikan bahawa nikmat keamanan dan kemakmuran melimpahi Universiti Sains Malaysia.

“Semoga program seumpama ini dapat diteruskan untuk generasi yang akan datang agar setiap yang terlibat memperolehi rahmat dan hidayah melalui penganjurannya.

“Majlis seperti ini juga mampu mencungkil serta menggilap bakat-bakat dari kalangan mahasisawa serta mahasiswi USM,” tambah Taksiah melalui ucapannya.

Menurut Taksiah lagi, program seumpama ini juga dapat mendukung aspirasi seperti yang diterapkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia melalui lonjakan pertamanya dalam melahirkan graduan holistik serta seimbang iaitu berilmu dan berakhlak.

Web 3

Berlangsung dari 17 hingga 18 Mac 2017, program ini melibatkan semua desasiswa-desasiswa yang terdapat di ketiga-tiga kampus USM iaitu Kampus Induk Pulau Pinang, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dan Kampus Kesihatan di Kelantan.

Johan Qari dan Qariah menerima wang RM400, Piala Pusingan, Piala Iringan dan Sijil Penghargaan manakala Naib Johan dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang RM250 dan RM150, Piala Iringan berserta Sijil Penyertaan.

Selain Profesor Dr. Taksiah A. Majid, turut sama hadir adalah Penggawa Desasiswa Cahaya Gemilang, Mohd Shafie Ariffin serta Penggawa Desasiswa Lembaran Mejar Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Roslizam Ramli