Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PPK AEROANGKASA SERTAI MAJLIS MOBILE COMMUNITY TRANSFORMATION CENTRE (CTC)

 DSC6825

SIMPANG AMPAT, 8 April 2017 – Majlis Mobile Community Transformation Centre (CTC) peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di sini hari ini menyaksikan penyertaan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aerongkasa (PPK Aero) dari Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Program usahasama dan inisiatif kerajaan dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kerajaan kepada komuniti melalui satu pusat sehenti ini merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru (NBOS) yang diperkenalkan demi meningkatkan kualiti perkhidmatan malalui kerjasama strategik antara jabatan dan agensi kerajaan.

 DSC6840

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Ayer Tawar, Dato’ Hajah Jahara Hamid, penganjuran program ini merupakan satu daripada pelbagai penghormatan yang menyaksikan penyampaian Perkhidmatan Awam direalisasikan.

“Perkara ini adalah bertepatan sekali dengan hasrat Perkhidmatan Awam itu sendiri iaitu untuk ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’”, tambah Jahara yang hadir untuk merasmikan program yang berlangsung selama satu hari ini.

Mobile CTC merangkumi lima komponen utama iaitu menyediakan perkhidmatan; memberi penerangan serta kesedaran kepada rakyat mengenai dasar, program dan aktiviti kerajaan; menyediakan peluang keusahawanan kepada penduduk tempatan ketika program berlangsung; menghimpunkan rakyat pelbagai peringkat dan kaum untuk bersukan dan bersukarelawan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyediakan platform untuk membolehkan bantuan kerajaan disalurkan terus kepada kumpulan sasar.

Jahara turut menekankan bahawa usaha dalam penganjuran program seperti ini mampu untuk mendekatkan lagi agensi-agensi kerajaan yang terlibat disamping dapat mendekati masyarakat awam melalui perkhidmatan secara terus tanpa perlu berada di premis operasi yang sebenar.

“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua yang hadir agar memanfaatkan kesempatan yang ada pada hari ini untuk mendapatkan semua kemudahan perkhidmatan yang telah disediakan secara bersama,” kata Jahara lagi.

 DSC6885

Melalui majlis yang sama turut diadakan penyampaian bantuan Mobile Team, penyerahan kad pengenalan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), penyampaian bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang disampaikan oleh Dato’ Hajah Jahara.

Mewakili Kampus Kejuruteraan USM, PPK Aero menyertai lebih kurang 53 agensi-agensi kerajaan lain yang terlibat antaranya adalah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Giatmara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institu Latihan Perindustrian (ILP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Penyertaan PPK Aero membuka ruang dan peluang kepada pengunjung untuk mengetahui lebih lanjut akan maklumat serta kursus-kursus kejuruteraan yang ditawarkan selain dapat melakukan sesi soal jawab secara langsung antara USM dengan orang awam.

Turut hadir sama adalah ADUN Sg. Acheh, Dato’ Hj. Mahmud Zakaria; Timbalan Pengarah Kanan (Fasilitasi), Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan Malaysia, Dato’ Jana Santhiran a/l Muniayan; Timbalan Pengarah Kanan, Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan Malaysia, Lt Gen Datuk Dr William Rangit Stevenson; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato' Seri Haji Farizan Darus dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Shafee Abdul Samad.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman