Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SUMBANG KEPAKARAN: USM SEDIA BANTU PROSES BEKALKAN AIR BERSIH KEPADA PENDUDUK

IMG 3787 a

PULAU PINANG, 21 April 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia menyumbang kepakaran dalam bidang kejuruteraan bagi membantu kerajaan negeri Perak membekalkan air bersih kepada penduduk di Kampung Sungai Cawang, sebuah kampung terpencil yang hanya diduduki oleh 40 buah keluarga di Teluk Intan.

Pensyarah berpengalaman dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM, Profesor Ir Dr. Mohd. Nordin Adlan berkata, pihaknya telah dipelawa oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir untuk mengemukakan kertas cadangan menyediakan pengabstatan air bumi (ground water abstraction) di kampung itu.

IMG 3788 b

IMG 3790 c

Beliau yang juga Ketua Kluster Keselamatan Air USM berkata, kampung yang mula dibuka sejak 1981 itu terletak di Mukim Durian Sebatang dan berada dalam lingkungan 19 kilometer dari jalan utama Jalan Changkat – Teluk Intan.

“Sebelum ini penduduk di sana hanya mendapat bekalan air melalui telaga yang dikorek sendiri. Kita berpeluang melawat ke sana dan yakin dapat membantu menyediakan satu sistem bekalan air melalui telaga tiub yang lebih efisien dan lestari,” katanya.

Tambah Mohd Nordin, pihaknya mengemukakan cadangan untuk membekalkan satu sistem bekalan air bumi berpusat yang merangkumi beberapa aspek lain termasuk sistem rawatan air untuk bekalan air yang lebih efisien dan bersih.

“Sehingga kini kita mendapati pihak kerajaan negeri Perak menaruh minat terhadap cadangan yang dikemukakan dan usaha ini akan diteruskan dengan perbincangan lanjut bersama pihak Lembaga Air Perak,” ujar beliau.

IMG 3792 d

Terdahulu, Mohd Nordin mengikuti siri lawatan kerja Menteri Besar Perak ke kampung Sungai Cawang yang disifatkan agak tercicir dari menikmati kemudahan asas air ekoran lokasinya di tengah ladang yang menyukarkan kerja pembekalan dan melibatkan kos yang amat tinggi.

Turut hadir dalam lawatan kerja berkenaan ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr. Jailani Muhamed Yunus, Setiausaha Kerajaan Negeri, Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan sebagainya.

Teks: Marziana Mohamed Alias Foto: Ehsan PPKA