Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

WANITA, KERJAYA DAN CABARAN

 DSC7940

NIBONG TEBAL, 26 April 2017 – Wanita hari ini berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran di tempat kerja yang mengehadkan penglibatannya di dalam sesebuah jabatan dan syarikat. 

Oleh yang demikian, Sekretariat Pembangunan Hal Ehwal Siswi (HELWI) di bawah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan dengan kerjasama IEEE Women in Engineering (WIE) USM Student Branch telah menganjurkan Forum 2017 – Women In The Workplace.
 
Program ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar terutamanya siswi melalui sesi perkongsian pendapat daripada panel-panel jemputan.
 
Melalui forum ini, kesamarataan hak di tempat kerja yang menggalakkan peningkatan kesedaran orang ramai akan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan turut sama dibincangkan.
 
Malah, sumbangan wanita sebagai tenaga kerja dan penawaran peluang yang terhad turut menjadi salah satu topik yang hangat dibincangkan dikalangan panel.
 DSC7948 
Salah seorang panel yang terlibat yang juga merupakan pengasas Woman Techmakers Kuala Lumpur, Nazlina Quadir menyatakan bahawa cabaran wanita untuk berada dalam persekitaran yang dimonopoli oleh lelaki adalah sukar.
 
“Bukanlah sukar untuk kita menjadi wanita, tetapi untuk menjadi wanita yang mana pendapatnya mudah diterima dan digunakan oleh persekitaran kerja yang dikuasai oleh lelaki itu yang paling sukar,” kata beliau.
 
“Kita perlu berusaha keras melebihi mereka memandangkan kebanyakan pengurusan tertinggi di dalam sesebuah syarikat di Malaysia adalah terdiri daripada lelaki,” tambah Nazlina di hadapan lebih daripada 150 peserta yang hadir.
 
Selain Nazlina, panel jemputan lain adalah tokoh wanita dalam bidang Astronomi dan Profesional Astrofizik negara, Professor Emeritus Datuk Dr. Mazlan Othman, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Waitchalla a/p R.R.V. Suppiah dan Pengurus Besar Invest Penang, Puan Lee Loo Lian manakala Ketua Projek Lean In Malaysia, Cik Ashley Suelyn bertindak sebagai moderator.
 
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman