Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

1000 PENGUNJUNG SERTAI EKSPO KEUSAHAWANAN KAMPUS KEJURUTERAAN

 DSC7694

NIBONG TEBAL, 25 April 2017 - Ekspo Keusahawanan Kursus Teras Keusahawanan (WUS 101) yang di adakan di Dewan Utama Kampus Kejuruteraan hari ini berjaya menarik kehadiran lebih kurang 1000 orang pengunjung.

Ekspo yang diadakan selama dua hari ini telah dirasmikan pada hari pertama pembukaan oleh Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria.

 DSC7690

Program ini telah menjadi salah satu daripada inisiatif universiti dalam memberi pendedahan awal kepada pelajar yang terlibat kepada asas keusahawan serta kaedah-kaedah dalam menjalankan perniagaan.

Kursus WUS 101 merupakan satu daripada kursus wajib universiti dalam memenuhi tuntutan untuk setiap pelajar memperolehi ijazah masing-masing dan melalui penganjuran program seperti ini diharap dapat memberi pendedahan secara praktikal kepada mereka yang terlibat.
 
Pegunjung yang hadir berpeluang mengunjungi kepelbagaian gerai jualan yang disertai oleh 465 orang pelajar tahun pertama Kampus Kejuruteraan USM.

Berlangsung dua hari daripada 25 hingga 26 April 2017, ekspo ini adalah aktiviti tahunan anjuran Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus dan telah diadakan selama dua tahun berturut-turut.

Selain daripada itu, pemeriksaan kesihatan oleh Unit Kesihatan Kampus turut diberikan kepada pengunjung yang hadir secara percuma sepanjang ekspo berlangsung.

 DSC7708

Sebanyak 78 gerai yang berasaskan makanan, pakaian dan cenderahati kendalian pelajar tahun satu hingga tahun tiga Kampus Kejuruteraan telah dibuka kepada pengunjung sepanjang ekspo berlangsung.

Persembahan kebudayaan seperti Gitar, Kompang Berlagu, Koir, Senamrobik oleh pelajar-pelajar daripada kursus kokurikulum, Seni Silat Cekak Malaysia dan PALAPES USM turut diadakan pada sebelah malam sebagai hiburan kepada mereka yang hadir.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman