Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM WUJUDKAN GOBOK SYURGA

DSC 0486

NIBONG TEBAL, 16 Jun 2017 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail melancarkan Gobok Syurga bersempena dengan Majlis Berbuka Puasa Bersama Naib Canselor USM di Kampus Kejuruteraan di sini hari ini.

Gobok Syurga bertujuan untuk menggalakkan amalan bersedekah dalam kalangan warga kampus yang boleh dilakukan bila-bila masa di Pusat Islam Kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal.

“Perkara ini adalah selaras dengan prinsip dalam Islam yang menggalakkan umatnya untuk selalu bersedekah terutamanya dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini,” tambah beliau.

DSC 0433

Selain daripada itu, Naib Canselor melalui ucapan beliau turut sama memuji inisiatif yang diambil oleh Pusat Islam dalam meraikan mereka yang kurang bernasib baik melalui sumbangan Happy Ramadhan USM 2017.

DSC 0436

Mereka yang menerima sumbangan adalah dari kalangan mereka yang terpilih dari kalangan mahasiswa USM, Keluarga Sahabat Pusat Islam serta warga USM Kampus Kejuruteraan.

“Saya mewakili seluruh warga USM mengucapkan syukran jazillah atas sumbangan yang tidak terhingga ini.

“Saya juga ingin mencadangkan agar diwujudkan satu sistem zakat secara 'cashless' yang boleh dilaksanakan kepada kakitangan-kakitangan tertinggi USM dalam memudahkan kami semua untuk memberi sumbangan melalui potongan elaun-elaun tertentu mengikut kadar yang telah dipersetujui,” tambah Asma.

DSC 0473

Pada majlis yang sama Naib Canselor turut menyampaikan sumbangan kepada 10 kanak-kanak yang menghidap kanser dari Pertubuhan Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara.DSC 0461

DSC 0423

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, turut menyeru agar warga kampus mengejar sebanyak mungkin keberkatan dalam Bulan Ramadhan dengan melakukan amal ibadah secara maksima.

“Malah, medium yang telah diwujudkan oleh Pusat Islam seperti Gobok Syurga dan juga Majlis Berbuka Puasa seperti ini harus dijadikan salah satu daripada galakan untuk kita semua bersedekah dan terus berbuat kebaikan tanpa mengira masa,” kata Azazi di majlis yang dihadiri oleh 150 orang termasuk dari kalangan pegawai-pegawai dan kakitangan USM ini.

DSC 0496

Turut sama hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dato' Dr. Adnan Bin Hussein, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri Dan Masyarakat, Profesor Dr. Abdul Rahman Bin Mohamed, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Bin Mohd Sadullah dan Pendaftar, Profesor Dato' Dr. Abd Aziz Bin Tajuddin.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman