Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

MPS KAMPUS KEJURUTERAAN USM, TUJUH CALON MENANG TANPA BERTANDING

WhatsApp Image 2017 10 10 at 9.29.34 AM

NIBONG TEBAL, 9 September 2017 – Majlis Pemilihan Siswa (MPS) yang di adakan di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menyaksikan tujuh orang calon Majlis Perwakilan Pelajar Sidang 2017/2018 menang tanpa bertanding.

WhatsApp Image 2017 10 10 at 9.29.33 AM

Mereka yang menang tanpa bertanding adalah Wan Nor Aliza Wan Mahtar (Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam), Farhan Hakimi Anuar (Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik), Muhammad Danial Hakkim Mohamad (Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral), Muhamad Aisar Nafiz Aswan (Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia), Muhammad Asrul Nizam Azmi (Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik), Calon Institut Pengajian Siswazah, Khoo Yeong Chin (Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik) dan Calon Umum, Samuel Edmund Theivendran dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.

WhatsApp Image 2017 10 10 at 9.29.30 AM

Manakala calon yang bertanding, Low Jian Yan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa menang tipis ke atas Jonathan Chatanraj a/l Jeswant Singh dengan perbezaan tiga undian.

Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria bercakap ketika majlis tersebut menyuarakan harapan beliau agar mereka yang dilantik ini kelak dapat menjadi sebuah pasukan yang aktif dalam menjalankan aktiviti-aktiviti antara pelajar dan universiti.

“Semoga mereka ini akan mengembeling tenaga bersama-sama dengan universiti dan kita akan pastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh mereka-mereka ini memenuhi kualiti yang diharapkan dan berbeza dengan aktiviti tahun-tahun sebelum ini,” tambah Azazi.

WhatsApp Image 2017 10 10 at 9.29.29 AM

Seramai 153 orang pelajar keluar mengundi calon masing-masing pada MPS peringkat Kampus Kejuruteraan kali ini dengan jumlah peratusan adalah sebanyak 89 peratus.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia yang merupakan Pemangku Pengarah Kampus sehingga September 2017 yang lalu turut melahirkan rasa sukacita beliau akan peratusan kehadiran pelajar yang keluar mengundi pada hari ini.

“Walaupun peratusan yang hadir adalah kurang satu peratus daripada sasaran awal kita iaitu 90 peratus, namun, saya masih berpuas hati memandangkan jumlah ini sudah menunjukkan bahawa calon-calon yang terlibat mendapat sokongan padu daripada rakan sepengajian masing-masing,” kata Azlina.

Selain daripada itu, Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) Kampus Kejuruteraan, Samsuri Musa mengulas bahawa MPS kali ini berjalan dengan lancar dan kempen yang dijalankan juga diadakan secara aman.

Seperti tahun lepas, MPS kali ini turut menggunakan sistem undian berkomputer yang telah memudahkan pelajar untuk membuang undi dan mempercepatkan pengiraan undi dalam menentukan kemenangan calon yang bertanding.