Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PENGARAH KAMPUS LANCAR 2018 TAHUN EKSPLORASI QURANI

DSC 1531NIBONG TEBAL, 30 Januari 2018 – Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah merasmikan Pelancaran 2018 Tahun Eksplorasi Qurani sempena dengan Seminar Eksplorasi Qurani di sini hari ini.

Program yang akan berlangsung sepanjang tahun 2018 ini merupakan anjuran Pusat Islam Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dalam ucapannya menyatakan bahawa kesempatan untuk berada dalam majlis ilmu ini seharusnya direbut oleh warga kampus.

DSC 1520

DSC 1504

“Sebagai Umat Islam yang berpegang kepada Al-Quran dan Hadith, kita seharusnya bersyukur diberi peluang untuk hadir ke majlis yang dianjurkan oleh Pusat Islam ini.

“Malah, bukan mudah untuk kita mengumpulkan para ilmuan dan agamawan seperti hari ini yang mana setiap dari kita dapat bersama menimba ilmu yang disampaikan secara santai seperti ini,” tambah beliau.

Melalui program ini, penganjur telah menjemput Mantan Pengarah Pusat Islam USM dan Mantan Pengarah Pusat Transformasi Insan USM Dato’ Ustaz Ellias Zakaria untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk Penghayatan Al-Quran di Jiwa Insan.

DSC 1533

DSC 1535

Dato’ Ustaz Ellias sebelum ini pernah menyandang pelbagai jawatan antaranya Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (2010-2011), Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (2010-2012) dan lain-lain.

Selain daripada itu, lebih kurang 100 orang kakitangan turut didedahkan dengan cara-cara untuk Menguasai Al-Quran dalam Tujuh Jam Kaedah Haraki yang disampaikan oleh Ustaz Zakaria Nasiruddin.

DSC 1443

DSC 1490

Beliau merupakan mantan Guru dan Pensyarah yang kini sedang bergiat aktif berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran kepada seluruh umat islam dengan menggunakan Kaedah Haraki yang telah beliau asaskan.

DSC 1488

DSC 1578

Antara program-program lain yang akan diadakan sepanjang tahun Eksplorasi Qurani 2018 ini adalah seperti Bacaan Al-Quran Bertalaqi, Kuiz Eksplorasi Qurani, Enam Jam Menguasai Asas Tajweed, Majlis Khatam Al-Quran Ramadhan, Klinik Al-Quran di Pusat Islam, Perkhidmatan Mentor Al-Quran dan lain-lain.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman