Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM UNIVERSITI SULUNG JALIN KERJASAMA DI NATIONAL INSTRUMENTS ROBOTIC COMPETITION MALAYSIA

DSC 2484

NIBONG TEBAL, 1 Mac 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Sains@USM menjadi Institut Pengajian Tinggi (IPT) sulung yang dipilih oleh National Instruments (NI) dalam menjalankan kerjasama serta penyertaan dalam National Instruments Robotic Competition (NI ARC) di Malaysia.

Perkara ini adalah seperti yang dinyatakan Pengurus bahagian Sumber Manusia NI, Zul Ibrahim pada Majlis ‘KICK-OFF’ NI ARC Competition di sini hari ini yang mana pertandingan ini turut disertai oleh para peserta antarabangsa dari Australia, New Zealand dan Singapura.

DSC 2459

Menurut Zul juga, National Instruments Robotic Competition di Malaysia diadakan untuk memberi kesempatan kepada jurutera-jurutera tempatan agar dapat menyahut cabaran ke arah menjadi jurutera yang terbilang di dunia.

“Malah, melalui program ini, NI turut membuka peluang kepada jurutera-jurutera ini untuk menyumbang kembali kepakaran mereka kepada masyarakat melalui teknologi-teknologi yang digunapakai dalam ciptaan masing-masing sepanjang pertandingan ini berlangsung,” kata Zul.

Sejak tahun 2011, NI ARC merupakan satu pertandingan yang berlandaskan kepada objektif untuk memacu pelajar ke arah aplikasi perkakasan dan perisian terkemuka industri serta kaedah-kaedah dalam pembuatan reka bentuk kenderaan pintar yang boleh mematuhi peraturan jalan raya.

DSC 2448
 
Dibina di sekitar tema "Fast Track to the Future", NI ARC memerlukan robot setiap pasukan yang bertanding untuk menyelesaikan tugas-tugas seperti pergi ke drop off point, memunggah kiub, berkomunikasi secara tanpa wayar dan mengelak halangan semasa untuk mengoptimumkan prestasi serta kecekapan dalam memperolehi markah.

Mewakili Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri Dan Masyarakat, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed selaku Pengerusi Projek, Profesor Ir. Dr. Dahaman Ishak, berkata program seperti ini diharap dapat mendedahkan para pelajar kepada kepakaran dan pengalaman yang wujud di dalam industri.

DSC 2447

“Kami turut berbesar hati dapat menggalakkan para pelajar meneroka dunia pekerjaan yang sebenar melalui pertandingan di bawah seliaan syarikat Antarabangsa seperti National Instruments ini.

“Semoga penyertaan seperti ini juga akan menjadi inspirasi kepada para pelajar dan pensyarah yang terlibat dapat mengangkat nama USM ke peringkat yang lebih tinggi di dalam mahupun luar negara kelak,” tambah Dahaman.

DSC 2472

Para peserta National Instruments Robotic Competition (NIRC) akan diberikan latihan yang dilaksanakan oleh jurulatih dari NI selain 1 unit perkakasan myRIO 1900 akan turut diserahkan kepada setiap pasukan semasa permulaan program. RM1500.00 akan diberikan dalam membolehkan peserta untuk membina robot, trek, dan lain-lain yang mana kumpulan yang berjaya akan berpeluang untuk menyertai pertandingan akhir yang akan diadakan pada bulan September 2018 akan datang di Australia.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman