Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

MANTAN NC TURUN PADANG SAMPAIKAN ALUMNI TALK 2018

DSC 6784

NIBONG TEBAL, 20 April 2018 – Mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) dan juga Presiden Persatuan Alumni USM Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak turun padang menyampaikan Alumni Talk 2018 bertajuk “Memperkasa Roh APEX: Apa Peranan Universiti, Staf, Pelajar dan Alumni?” di sini hari ini.

Beliau yang memegang jawatan Naib Canselor selama 11 tahun  adalah tokoh yang telah berjaya meletakkan USM sebagai satu-satunya universiti awam di negara ini yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk memegang status Accelerated Programe for Excellence
(APEX) pada tahun 2008.

DSC 6696

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam ucapan beliau menyatakan bahawa pencapaian sebagai universiti sulung dalam memegang status APEX adalah sangat membanggakan dan menjadi milestone dalam sejarah USM.

“Sejak kepimpinan Dzulkifli di USM dan sehingga ke hari ini, USM yang memfokuskan kepada kelestarian dunia, kemanusiaan dan masa depan manusia sejagat dengan pengenalan kepada pelbagai prinsip yang menjurus kepada tiga isu ini adalah kebanggaan kepada seluruh warganya,” tambah Asma.

Naib Canselor USM wanita pertama USM ini turut menambah bahawa seiring dengan status APEX yang diperolehi, USM sentiasa bercita-cita untuk menanamkan nilai-nilai dan teras utama untuk dipegang dan dilaksanakan oleh warganya iaitu staf, pelajar dan tidak ketinggalan, para alumni.

DSC 6729

Dzulkifli melalui perkongsian ini telah menekankan akan kepentingan dalam memastikan kemanusiaan sebagai salah satu nilai yang paling penting dalam menuju ke arah kelestarian seperti yang telah ditekan USM melalui visinya iaitu Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok.

DSC 6720

Malah, beliau turut menyokong usaha yang dilakukan Asma dalam menjadikan USM sebagai sebuah universiti yang mendahului atau sulung melalui pemikiran-pemikiran kritis dalam bidang yang pelbagai.

DSC 6684

Pemilihan Kampus Kejuruteraan sebagai tuan rumah pertama untuk siri Alumni Talk 2018, turut menarik perhatian Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria yang telah melahirkan rasa berbangga beliau akan penganjuran siri ini.

Selain daripada itu, beliau turut sama berkongsi akan sumbangan Dzulkifli dalam pembangunan Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal semasa beliau menjadi Naib Canselor dari tahun 2000 hingga tahun 2011 kepada lebih kurang 300 orang yang hadir.

DSC 6760

Turut hadir adalah Pendaftar, Dr. Musa Ali, Bendahari, Dr. Rohayati Mohd. Isa, Ketua Pustakawan, Puan Engku Razifah Engku Chik dan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Kerjaya & Kebolehpasaran Graduan, Dr. Norazharuddin Shah Abdullah.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin