Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PROFESOR IR. DR. ABDUL RAHMAN MOHAMED DILANTIK TNC P&I USM

Rahman FASc

USM, PULAU PINANG, 1 Mei 2018 – Top Research Scientist Malaysia (TRSM), Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman bin Mohamed, FASc, 54, dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNC P&I) Universiti Sains Malaysia (USM) selama tiga (3) tahun mulai 1 Mei 2018 hingga 30 April 2021.

Abdul Rahman, yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM sejak 1 Mei 2016, di samping menyandang jawatan Pengarah sains@usm (Sciences and Arts Innovation Space), menggantikan Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan yang tamat perkhidmatannya sebagai TNC P&I pada 30 April 2018. Beliau yang juga Jurutera Profesional, merupakan seorang tokoh pendidik dan penyelidik cemerlang.

Abdul Rahman bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Kulim, Kedah sebelum ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pengajian ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di University of Southern California, dan seterusnya memperolehi ijazah Sarjana dan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang yang sama dari University of New Hampshire pada 1993.

Abdul Rahman memulakan perkhidmatan sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK), USM pada tahun 1993 dan merupakan di antara pengasas Pusat Pengajian tersebut. Pernah menjadi Dekan PPKK dan merupakan seorang penyelidik yang aktif dalam bidang kajian meliputi kejuruteraan pemangkinan, kejuruteraan persekitaran, nanobahan dan nanoteknologi. Kerjasama beliau dengan penyelidik dari Osaka University dan Nagaoka University of Technology, Jepun; serta University of Lorraine, Perancis, telah meluaskan lagi pengaruh beliau dalam penyelidikan.

Beliau telah menerima lebih daripada 80 geran penyelidikan daripada organisasi nasional/antarabangsa berjumlah melebihi RM20 juta; menerbitkan lebih 400 hasil penyelidikan di dalam jurnal nasional dan antarabangsa; serta prosiding persidangan yang mencapai H-Index 59 dan jumlah sitasi melebihi 11,000 berdasarkan rekod pangkalan data bibliografi Scopus pada Mei 2018.

Beliau juga telah menggraduat lebih 40 orang pelajar sarjana dan PhD. Hasil daripada pencapaian penyelidikan yang cemerlang, beliau telah memenangi lebih 60 anugerah/pengiktirafan di peringkat nasional/antarabangsa seperti Anugerah Malaysia Toray Science Foundation dan Top Research Scientists Malaysia (2012); Malaysia’s Rising Star Award (2015); serta ikon MARA/MRSM (2017).

Abdul Rahman juga bergiat aktif dalam persada industri. Penglibatan aktif beliau bersama industri di dalam penubuhan dan perkembangan Collaborative Research in Engineering, Science and Technology Center (CREST) telah meningkatkan projek-projek kolaborasi R&D antara USM dengan pelbagai industri di Pulau Pinang, serta organisasi seperti Northern Corridor Implementation Authority (NCIA), Khazanah Nasional, Talent Corporation dan Majlis Amanah Rakyat (MARA). Kejayaan Model Pembangunan Bakat dan Model Kolaborasi yang dibangunkan bersama NCIA bagi projek-projek di Pulau Pinang telah direplikasikan untuk projek-projek lain seperti Sains@Chuping di Perlis dan Sains@Alor Setar di Kedah.

Di peringkat nasional, beliau dilantik sebagai Penasihat Teknikal, Public Private Research Network (PPRN); Ahli Jawatankuasa Anugerah Akademik Negara di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi; Felo Akademi Sains Malaysia (ASM); serta Pakar Lapangan bidang Nanotechnology dan Ketua Projek National Graphene Consortium di bawah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan. Beliau aktif dalam program-program motivasi di MRSM dan sekolah yang telah berjaya meningkatkan prestasi akademik pelajar.

USM juga telah melantik Abdul Rahman sebagai Duta USM untuk program-program pendidikan kerjasama MARA-USM selama lebih daripada 15 tahun yang bertujuan untuk memberi impak positif kepada pelajar, guru dan staf MARA.

Beliau dianugerahkan Bintang Cemerlang Negeri Pulau Pinang pada 2007 dan Johan Mangku Negara pada 2017.