Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SUMBANGAN KEPAKARAN PPKK DALAM TRANSFORMASI KECEMERLANGAN REMAJA DESA

SCE 9222

NIBONG TEBAL, 7 Mei 2018 – Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyumbang kepakaran tenaga pengajarnya melalui Program dan Khidmat Sosial, Transformasi Kecemerlangan Remaja Desa di sini hari ini.

Timbalan Dekan Akademik, Pelajar dan Alumni PPKK, Profesor Madya Ir. Dr. Zainal Ahmad, dalam ucapannya menyatakan bahawa program ini merupakan salah satu daripada inisiatif pusat pengajian ini untuk sedaya upaya membantu masyarakat sekitar dengan kepakaran dan kemudahan yang ada demi kemajuan anak bangsa.

“Malah, program seperti ini juga dapat membuka peluang kepada pelajar yang terlibat untuk menggunakan kesempatan dalam mendapat tunjuk ajar daripada pensyarah PPKK yang berpengalaman untuk memajukan diri terutamanya dalam pendidikan.

SCE 9251

“Oleh itu, saya menggalakkan setiap pelajar yang hadir untuk terus bertanya kepada penceramah terutamanya teknik dan cara belajar dengan betul serta berkesan dan membuang rasa malu masing-masing melalui peluang yang diberikan ini,” kata Zainal dalam program yang melibatkan seramai 82 orang pelajar tahun enam dari Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu (SKAP), Bagan Serai, Perak ini.

SCE 9287

Antara objektif program adalah untuk memberikan motivasi dan teknik belajar yang berkesan terutama dalam menghadapi pepriksaan UPSR, memberikan kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan untuk menjadi seorang yang berilmu, memberikan pendedahan awal tentang kehidupan sebagai pelajar di Universiti dan mewujudkan hubungan baik antara Universiti Sains Malaysia dengan masyarakat.

Menurut Guru Besar SKAP, Mohd Salji Yunus, (Guru Besar) program ini merupakan salah satu gerak kerja pihak sekolah untuk memastikan murid-murid tahun 6 yang akan menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun ini lebih bersedia dan akhirnya mencapai kecemerlangan yang luar biasa.

“Murid-murid yang hadir pada hari ini sangat bertuah kerana di awal usia 12 tahun, mereka telah mendapat tunjuk ajar daripada pensyarah universiti yang sangat berpengalaman di mana saya sendiri setelah usia 50 tahun baru berkesempatan untuk belajar dengan pensyarah yang bergelar Profesor dan Proefsor Madya ini,” kata Salji.

SCE 9267

“Saya berharap agar usaha murni ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dan piihak kami sangat berbesar hati serta terhutang budi dengan pihak PPKK USM atas kerjasama melalui program khidmat sosial yang dianjurkan ini,” tambah beliau lagi.

SCE 9312

Program ini merupakan simbolik kerjasama yang berterusan pihak PPKK dalam membantu dan memberikan pendedahan awal kepada murid-murid luar bandar terutamanya tentang pendidikan serta hala tuju sebagai seorang pelajar dengan sekolah-sekolah sekitar.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung adalah Ceramah Transformasi Kecemerlangan Remaja Desa yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Azmier Ahmad, Ceramah Strategi Belajar B.E.T.U.L oleh Dr. Suhairi Abdul Sata dan lawatan pelajar ke makmal-makmal PPKK.