Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

BE A THINKER! - TNC AKADEMIK DAN ANTARABANGSA

NIBONG TEBAL, 2 Mei 2018 – Be a thinker! Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah gesa pelajar kejuruteraan untuk berfikir dengan lebih kiritis.

Perkara yang tersebut dinyatakan beliau ketika merasmikan program bual bicara USM Aerospace Industry anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Kejuruteraan di sini hari ini.

“Individu yang berfikiran jauh mampu pergi lebih jauh di dalam kehidupan mereka.

“Sebagai jurutera, cuba untuk menerapkan nilai pemikir H.E.B.A.T di luar bidang masing-masing supaya dapat menghadapi cabaran serta menerapkan kreativiti dalam realiti dunia pada hari ini,” tambah Farhan.

Malah, Farhan turut menyatakan bahawa adanya aktiviti dua hala antara pelajar dan industri seperti ini tidak seharusnya difokuskan kepada peluang pekerjaan semata tetapi ianya juga harus dijadikan landasan untuk bekerja secara bersama secara terancang.

Program bual bicara ini dianjurkan dalam tujuan pembangunan graduan dalam bidang akademik serta kemahiran sosial untuk membina keseimbangan yang kukuh dalam kehidupan pelajar sebelum menamatkan pengajian.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Ir. Dr. Mohd Zulkifly Abdullah, USM pula menyampaikankan ucapan tahniah beliau kepada pelajar yang terlibat dalam menjayakan program yang bersifat nasional seperti ini.

“Saya juga mahu setiap pelajar yang hadir memberikan seratus peratus perhatian sepanjang berlangsungnya bual bicara ini.

“Bukan mudah untuk membawa individu-individu hebat ini ke pentas kampus, oleh yang demikian, saya menggalakkan komunikasi dua hala antara pelajar dan wakil industri yang terlibat pada hari ini supaya lebih banyak ilmu akan diperolehi,” tambah beliau.

Sesi perkongsian melalui program ini akan membolehkan pelajar untuk berkongsi pengalaman berharga berdasarkan panel-panel jemputan melalui kisah kejayaan hidup masing-masing seiring dengan kepesatan industri yang mencabar pada hari ini.

Selain daripada itu, program ini juga akan membantu meluaskan pengetahuan pelajar terutamanya pelajar Kejuruteraan Aeroangkasa selepas mereka tamat belajar nanti dimana mereka akan diberi pelbagai pendedahan ke arah ruang kerja untuk masa depan yang lebih baik.

Program bual bicara ini terbahagi kepada lima sesi iaitu Enhancing Economic Growth Through Industrial Development, The Role of MNCs in Building Domestic Capability, Creating Malaysia's Local Champions in Global Arena serta Jump-starting Vibrant Technology Startups Industry dan satu sesi khas iaitu Heralding The Fourth Industrial Revolution.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman