Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM TERUS HARGAI ATLET DAN TAMBAHBAIK PRASARANA SUKAN

EAM 6868 800x600

PULAU PINANG, 15 Mei 2018 – Majlis Anugerah Sukan (MAS) terus dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) bagi tahun ke-40 bagi menghargai jasa dan pengorbanan para atlet serta kecemerlangan dalam pelbagai peringkat.

 Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, kecemerlangan dalam sukan bukan hanya untuk para pelajar tetapi kecemerlangan sukan dalam kalangan staf di USM juga tidak kurang pentingnya. 

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pengurusan Pusat Sukan dan Rekreasi USM dengan pencapaian para atlet dalam kalangan pelajar yang berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa dan juga atlet staf yang berjaya di kedudukan Naib Johan dalam Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) yang lalu,” kata beliau ketika merasmikan MAS malam tadi. 

Naib Canselor juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan USM yang dipengerusikan oleh Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan kerana telah menjalankan amanat yang diberikan dengan baik sekali. 

Di samping itu, bagi memastikan kecemerlangan atlet di peringkat yang lebih tinggi, Universiti juga telah menyalurkan dana bagi pembangunan dan penambahbaikan prasarana sukan di ketiga-tiga kampus USM termasuk Kampus Kesihatan dan Kampus Kejuruteraan dan juga pengenalan sukan-sukan lain seperti Frisbee dan street workout. 

Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Muhamad Mohd. Hanif berkata, penerima anugerah bagi MAS pada tahun ini meningkat terutama bagi kategori Warna Penuh iaitu 68 orang berbanding 34 pada tahun lalu, Warna Separuh 12 dari 4 orang dan juga Perkhidmatan Kecemerlangan 68 orang berbanding 35.

EAM 6874 640x480c

MAS pada tahun ini menyaksikan atlet Perahu Layar negara, Geh Cheow Lin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ungu manakala atlet memanah Malaysia, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dinobatkan sebagai Olahragawati USM bagi kali ketiga berturut-turut dan atlet Karate, Ivan Oh Theng Wei diangkat sebagai Olahragawan USM.  

Beberapa anugerah lain yang turut disampaikan termasuk Anugerah Warna Penuh dan Separuh, Pasukan Terbaik, Bintang Harapan Lelaki dan Wanita.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Naib Canselor USM dan Timbalan-timbalan Naib Canselor USM. 

Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Ebrahim Abdul Manan