Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KEJURUTERAAN, KAMPUS PRODUKTIF – TNC PENYELIDIKAN DAN INOVASI

DSC 0657

NIBONG TEBAL, 22 Mei 2018 – Timbalan Naib Canselor (TNC), Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menjadikan Kampus Kejuruteraan sebagai lokasi pertama siri program bual bicara bersama beliau hari ini.

 

“Pemilihan ini telah saya putuskan setelah menilai prestasi kampus ini selama ini.

“Kejuruteraan merupakan sebuah kampus yang produktif dan telah banyak menyumbang kepada peningkatan pencapaian USM sehingga hari ini,” kata beliau.

DSC 0661

Beliau yang juga merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK), USM sejak tahun 1993 ini turut menyatakan keterbukaan beliau dalam menerima sebarang bentuk pendapat atau cadangan yang diutarakan oleh mereka yang hadir pada sesi beliau kali ini.

“Tujuan siri ini diadakan adalah untuk membolehkan saya selaku TNC Penyelidikan dan Inovasi untuk mendengar kekangan masalah secara terus daripada pensyarah serta pegawai penyelidik di kampus ini,” tambah beliau.

DSC 0667

“Pada hari ini, kita akan cuba untuk menjernihkan sebarang permasalahan yang dihadapi oleh anda semua dan sebolehnya akan membuka jalan penyelesaian terhadap perkara yang tersebut,” kata Rahman yang merupakan Top Research Scientist Malaysia ini.

Seramai lebih kurang 120 orang pensyarah dan pegawai penyelidik hadir di dalam program yang telah dianjurkan oleh Pejabat Penyelidikan dan Inovasi ini.

DSC 0663

Rahman, yang pernah memegang jawatan sebagai Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK) juga merupakan seorang penyelidik yang aktif dalam bidang kajian meliputi kejuruteraan pemangkinan, kejuruteraan persekitaran, nanobahan dan nanoteknologi.

Sesi bual bicara ini merupakan yang pertama kali seumpamanya diadakan sejak beliau dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNC P&I) Universiti Sains Malaysia (USM) selama tiga (3) tahun yang berkuatkuasa mulai 1 Mei 2018 baru-baru ini.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman