Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PRESIDEN NAGAOKA UNIVERSITY OF TECHNOLOGY LAWAT KAMPUS KEJURUTERAAN

DSC 2839

NIBONG TEBAL, 7 Ogos 2018 – Presiden Nagaoka University of Technology (NUT), Azuma Nobuhiko meluangkan masa selama setengah hari melawat Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai sebahagian daripada rangka lawatan rasmi beliau di Pulau Pinang.

 

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Dr. Zuhailawati Hussain yang mengetuai lawatan ini bagi menggantikan Pengarah Kampus menzahirkan rasa sukacita beliau akan kunjungan delegasi dari NUT.

“Kita di Kampus Kejuruteraan julung kali menerima kunjungan daripada seorang presiden sebuah universiti.

“Oleh yang demikian, saya sangat berbesar hati dapat mengetuai serta menjadi sebahagian daripada lawatan NUT pada hari ini,” kata Zuhailawati.

DSC 2776

DSC 2787

Selain daripada aktiviti rasmi yang lain, lawatan ini juga turut menjadi satu medium perkongsian antara kedua-dua universiti dalam sebarang isu berkaitan penyelidikan dan akademik masing-masing.

Kerjasama USM dan NUT telah terjalin sejak tahun 2003 melalui satu perjanjian kerjasama yang diwujudkan dalam penyelidikan serta kajian berkaitan minyak sawit.

Presiden NUT, Profesor Azuma Nobuhiko dalam ucapan beliau berharap agar melalui lawatan ini, lebih banyak peluang akan dapat diwujudkan antara USM-NUT.

“Malah, kami sangat berbesar hati untuk membincangkan sebarang bentuk projek kerjasama yang berpotensi untuk kebaikan kita secara bersama,” tambah Azuma yang turut menyertai sesi Penandatanganan Memorandum Persefahaman antara USM dan NUT di Kampus Induk sehari sebelumnya.

DSC 2834

DSC 2865

Antara Pusat Tanggungjawab yang dikunjungi oleh Azuma dan delegasi beliau adalah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC) dan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC).

Turut sama hadir adalah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Ir. Dr. Mohd Zulkifly Abdullah, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam,      Profesor Dr. Taksiah A. Majid, Dekan Pusat Pengajian Elektrik & Elektronik, Profesor Ir. Dr. Mohd Rizal Arshad, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman