Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

STESEN MAGDAS USM TEROKA PELUANG PENYELIDIKAN CUACA ANGKASA

NIBONG TEBAL, 10 Ogos 2018 – Pemasangan stesen Magnetic Data Acquisition System (MAGDAS) di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) akan membuka peluang kepada penerokaan penyelidikan cuaca angkasa.

 

Menurut Pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Siti Harwani Md Yusoff, perbincangan mengenai pemasangan sistem Realtime Magnetometer di kampus ini telah dibincangkan secara teliti dalam satu mesyuarat kajian yang telah diadakan di sini hari ini.

“Pada peringkat awal, sistem ini dipasang di utara dan selatan Jepun, tetapi untuk meluaskan capaian penyelidikan seterusnya, sistem ini dipasang di kawasan khatulistiwa merangkumi hampir semua negara di khatulistiwa.

“Di Malaysia, sehingga kini enam stesen MAGDAS sudah dipasang di Langkawi, Perak, Banting, Pasir Gudang, Terengganu dan Ranau manakala mesyuarat ini diadakan untuk membincangkan tentang pemasangan MAGDAS yang ketujuh di Kampus Kejuruteraan USM dengan seliaan penyelidik dari Makmal Sistem Angkasa, PPK Aeroangkasa,” tambah Harwani.

Menurut beliau lagi, MAGDAS yang merupakan system realtime magnetometer ini dibangunkan oleh Kyushu University untuk memantau serta mengutip data medan magnet Bumi untuk kajian hubungan di antara Matahari dan Bumi dan sistem di antaranya.

Harwani turut menjelaskan bahawa di pemasangan Stesen Magdas di USM, Pulau Pinang telah dicadangkan oleh pihak ANGKASA untuk memantau medan magnet Bumi di kawasan berhampiran Aceh yang berada di dalam zon gempa bumi aktif.

“Pemilihan Kampus Kejuruteraan sebagai stesen MAGDAS telah diputuskan oleh pihak ANGKASA ketika 2nd National School on Space and Earth Electromagnetism (NSoSEE 2017) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang pada 11 hingga13 Ogos 2017 tahun lepas yang turut dihadiri oleh para penyelidik daripada USM.

“Selepas mendapat persetujuan pihak ICSWSE, penyelidik dari USM telah dijemput menghadiri seminar di Kyushu University pada 22-30 Mac 2018 di mana lanjutan daripada perbincangan yang tersebut telah menyaksikan pihak ANGKASA telah beberapa kali datang ke Kampus Kejuruteraan untuk membuat ujian dan analisa akhir akan kesesuaian tempat pemasangan,” kata beliau.

Mesyuarat dan kajian yang berlangsung dari 10 hingga 12 Ogos 2018 ini telah menyaksikan penglibatan daripada seramai tiga orang penyelidik daripada Makmal Sistem Angkasa, PPK Aeroangkasa, USM, empat orang penyelidik dari International Centre for Space Weather Science and Education (ICSWSE), Kyushu University serta seorang wakil daripada Agensi ANGKASA Negara (ANGKASA).

Melalui pemasangan stesen ini, USM telah bersetuju untuk memberikan ruang tanah dan bekalan elektrik kepada stesen MAGDAS untuk beroperasi, dan membaikpulih sistem tersebut jika ada masalah berserta persetujuan untuk menandangani Memorandum Persefahaman dengan Kyushu University berkaitan dengan projek ini di masa akan datang.

Setiap penggunaan data di Kyushu University pula akan mewajibkan nama penyelidik diletakkan di dalam hasil penerbitan dan seterusnya akan membuka peluang kepada penyelidikan cuaca angkasa dengan lebih meluas disamping dapat menarik lebih ramai pelajar dan penyelidik lain untuk meneruskan kajian di dalam bidang ini di USM kelak.