Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

GRADUAN USM HARUS BERKEMAHIRAN – PROF. ZULKIFLI

DSC 4828

NIBONG TEBAL, 2 September 2018 – Pemangku Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Ir. Dr. Mohd Zulkifly Abdullah menggesa agar pelajar universiti ini dalam menjadi graduan dengan kemahiran yang pelbagai.

“Permintaan industri kita pada hari ini sudah jauh berbeza daripada industri kita beberapa dekad yang dahulu.

“Oleh kerana itu, saya ingin melihat pelajar-pelajar yang dihasilkan USM terutamanya dari kampus ini untuk sentiasa mempersiapkan diri secara keseluruhan dalam menghadapi persaingan di dunia pekerjaan sebenar nanti,” kata Zulkifli.

DSC 4830

Beliau menekankan perkara-perkara ini dalam satu Sesi Aluan pelajar baharu bersama Pengarah Kampus bersempena dengan Program Siswa Lestari untuk Sidang Akademik 2018/2019 di sini hari ini.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa ini turut menggalakkan seramai 641 orang pelajar yang hadir untuk menjadikan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail sebagai contoh kejayaan.

“Sebagai Naib Canselor Wanita pertama USM, beliau boleh dijadikan sebagai penanda aras kepada kejayaan kita di masa akan datang.

“Beliau bukan sahaja seorang saintis terulung di dalam bidang kepakarannya, malah beliau juga merupakan seorang tokoh yang sangat dihormati dan disegani di dalam serta luar negara dalam bidang-bidang lain,” tambah Zulkifly.

DSC 4819

DSC 4833

Selain daripada itu, Zulkifly menyatakan bahawa pensyarah-pensyarah di USM juga harus dihargai oleh setiap pelajar dalam usaha mereka untuk menggalas tugas penting mendidik jurutera-jurutera masa hadapan di Kampus Kejuruteraan ini.

Menurut beliau, untuk menjadi seorang jurutera yang hebat bukan semata-mata terletak pada pencapaian akademik, tetapi juga haruslah berjaya menguasai kemahiran insaniah.

Gabungan kemahiran ini menurut beliau akan berjaya meletakkan diri seseorang itu sebagai jurutera sebagai yang dihormati di bidang profesional dan disegani di kalangan masyarakat seperti yang selalu ditekankan di USM.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman