Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

NORIDZWAN DAN MUHAMMAD MU’IZZ JUARA BINTANG USM 2018

EAM 5024

PULAU PINANG, 19 Sept. 2018 – Pegawai Teknologi Maklumat di Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Noridzwan Baser dinobatkan sebagai Juara Bintang Universiti Sains Malaysia (USM) (Kategori Staf) manakala Muhammad Mu’izz Shahidan, pelajar tahun 2, Pusat Pengajian (PP) Kejuruteraan Mekanikal, Kampus Kejuruteraan dipilih sebagai Juara Bintang USM (Kategori Pelajar).

 

Noridzwan yang juga pernah menjadi finalis Bintang USM 2012 menyanyikan lagu asal Imran Ajmain bertajuk Dikalung Kasihan dengan penuh penghayatan dan diiringi dengan klip video lakonannya. Muhammad Mu’izz yang sangat meminati muzik dan penciptaan lagu pula menyanyikan lagu popular penyanyi terkenal, Anuar Zain bertajuk Andainya Takdir.

Kedua-dua juara membawa pulang wang tunai RM1,000, hamper sumbangan ADUN Batu Uban, A. Kumaresan, trofi iringan, sijil penyertaan, barangan elektrik serta baucer dari Purple Republic dan seutas jam tangan aksesori.

Atirah Huda Tarmizi, pelajar tahun 3 dari PP Pengurusan pula dianugerahkan Persembahan Terbaik dan juga Naib Juara kategori pelajar dengan dendangan lagu Tak Mungkin iaitu lagu asal nyanyian Sarah Fazny. Naib Juara Kategori Staf pula dianugerahkan kepada Pembantu Tadbir dari PP Sains Farmasi, Nur Ilanee Mohd Nasir yang menyampaikan lagu Dayang Nurfaizah, Lelaki Teragung.

Naib Juara membawa pulang wang tunai RM700, hamper sumbangan ADUN Batu Uban, trofi iringan, sijil penyertaan dan barangan elektrik. Persembahan terbaik pula menerima barangan elektrik sumbangan Pendaftar USM, Dr. Musa Ali dan juga Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA).

Tempat ketiga kategori pelajar pula jatuh kepada pelajar tahun akhir PP Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Mohamad Fadhilatul Azryn Mohd Ali yang menyampaikan lagu Sulit manakala bagi kategori staf, dimenangi oleh Pembantu Perawatan Kesihatan Hospital USM, Kubang Kerian, Sayuti Mat Riffin yang menyanyikan lagu Jamal Abdillah Di Sudut Kamar Hatiku.

Mereka membawa pulang wang tunai RM500, hamper sumbangan ADUN Batu Uban, trofi iringan, sijil penyertaan dan barangan elektrik.

Seramai lapan orang peserta bagi setiap kategori dipilih sebagai Finalis Bintang USM 2018 setelah diadakan sesi ujibakat yang bermula secara berperingkat pada Mac 2018 yang lalu.

EAM 4986

Kesemua persembahan finalis diiringi oleh DB Band dari Dewan Budaya USM dan acara selingan dijayakan oleh DB Band, Adikarma dan juga USM Buddies. Juri pertandingan ialan Pensyarah PP Seni USM, Profesor Madya Razif Mohd. serta juri jemputan luar iaitu Mohamad Zaki Ani dan Nurlida Ab. Rahman.

Bintang USM adalah pertandingan bagi mencungkil bakat pelajar dan staf USM dalam mencari pelapis penyanyi untuk bersama-sama DB Band dalam menjayakan persembahan-persembahan rasmi USM mahu pun di luar USM, di samping mencari bakat baru untuk mewakili USM dalam pertandingan-pertandingan nyanyian yang dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM).

Turut hadir dan menyampaikan hadiah kepada semua bintang ialah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan juga suami, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria; Timbalan-timbalan Naib Canselor dan isteri; Pengurusan Tertinggi Universiti dan juga Timbalan Dekan Akademik, Pelajar dan Alumni PP Seni, Dr. Mumtaz Begum Aboo Backer mewakili Pengarah DB dan Dekan PP Seni.

Teks: Nor Rafizah Md Zain