Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM NAIB JOHAN PERARAKAN HARI KEBANGSAAN PULAU PINANG 2018

41934221 1953789304682093 1862919919788621824 n

PULAU PINANG, 16 Sept. 2018 – Kontinjen perbarisan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini membuktikan mereka layak apabila berjaya merangkul Naib Johan untuk tahun ke-2 berturut-turut dalam Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang tahun 2018.

 

Menurut ketua kontinjen, Siti Aishah Abdul Raffar, kontinjen USM menerima piala dan hadiah wang tunai sebanyak RM750 dan hadiah kemenangan disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

“Pencapaian cemerlang ini diraih kerana komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh setiap peserta dan kontinjen telah memberi fokus penuh untuk mengecapi kejayaan serta mempunyai keyakinan tinggi dan tidak bersikap sambil lewa,” jelasnya.

Tambahnya, kontingen USM hanya menjalani latihan sebanyak 6 kali untuk mendisiplinkan diri serta melahirkan keutuhan diri setiap peserta dalam mewujudkan sikap kerjasama antara satu sama lain dan patuh terhadap segala arahan yang diberikan di samping memperkuatkan ketahanan mental dan fizikal diri sendiri.

Ujarnya lagi, kejayaan yang diraih membuktikan bahawa kontinjen USM mampu untuk bersaing bersama kontinjen-kontinjen lain daripada Universiti Awam (UA) dan Institusi Pendidikan yang terbabit.

Tahun ini memperlihatkan keunikan bagi sambutan di Pulau Pinang kerana menampilkan 120 kontinjen dengan penyertaan 10,000 peserta dan paling manis adalah Kempen Kibarkan Jalur Gemilang peringkat kebangsaan telah disempurnakan pada awal bulan lalu oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad di lokasi yang sama.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah