Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

LAWATAN QUEEN MARY UNIVERSITY OF LONDON TINJAU PELUANG KOLABORASI

NIBONG TEBAL, 4 September 2018 – Lawatan wakil Queen Mary University of London (QMUL) ke Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini meninjau peluang untuk berkolaborasi di masa akan datang.

Lawatan yang disambut oleh Pemangku Pengarah Kampus, Profesor Ir. Dr. Mohd Zulkifly Abdullah ini menunjukkan hasil perbincangan yang positif antara wakil-wakil Pusat Pengajian Kejuruteraan, USM dan wakil dari QMUL.

“Di USM, kita sentiasa mengalu-alukan pihak yang ingin menjalankan kerjasama dari segi akademik dan sebagainya demi menaikkan nama universiti ini ke peringkat yang lebih tinggi,” kata Zulkifly.

“Sehingga kini, USM mempunyai rekod yang sangat baik melalui perjanjian-perjanjian kerjasama yang telah termeterai sebelum ini dan saya mengharapkan agar hubungan dua hala antara USM dan QMUL ini kelak akan membuka peluang kepada peningkatan kualiti pelajar-pelajar kita,” tambah beliau.

Kunjungan wakil dari QMUL ke Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan USM ini adalah sebahagian sesi lawatan delegasi QMUL ke Asia Tenggara pada bulan September 2018 ini.

Wakil QMUL yang juga merupakan Dekan Program Pembelajaran Fakulti Sains & Kejuruteraan (Faculty of Science & Engineering), Dr Tony Michael melalui sesi tersebut menyatakan akan kaedah pengajaran serta pembelajaran yang sama antara kedua-dua universiti akan memudahkan lagi sebarang bentuk kerjasama seperti yang dicadangkan.

“Salah satu daripada tujuan lawatan ke kampus ini dijalankan adalah untuk memberi lebih maklumat serta pendedahan kepada QMUL akan kursus-kursus kejuruteraan di universiti ini yang mana kami berpendapat bahawa kursus-kursus kejuruteraan adalah menarik dan mempunyai potensi yang luas,” tambah Tony.

Turut hadir dalam lawatan selama setengah hari ini adalah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Profesor Dr. Mohd Rizal Arshad dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Azlina Harun.