Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PPKBSM BUKA PELUANG JALANI LATIHAN INDUSTRI DI JEPUN - PELAJAR

DSC 6181

NIBONG TEBAL, 3 Oktober 2018 – Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) jadi medium dalam membuka peluang kepada para pelajarnya untuk menjalani Latihan Industri (LI) di Negara Jepun.

Berikut adalah seperti yang dinyatakan oleh salah seorang pelajarnya yang baru selesai menyelesaikan LI beliau selama sepuluh minggu di Nippon Steel & Sumikin Coated Sheet Corporation, Aiman Safwan Azman, 22 di sini hari ini.

“Saya kagum dengan bantuan yang diberikan oleh pensyarah-pensyarah di sini dalam memastikan impian saya menjadi kenyataan apabila mereka mengaplikasikan jaringan hubungan yang tersedia untuk memastikan kami mendapat tempat di syarikat yang terlibat.

“Malah, kaedah bimbingan pensyarah-pensyarah di PPKBSM menjadi sumber inspirasi saya melalui Sistem Penasihat Akademik yang disediakan di mana kami diberi peluang untuk berkomunikasi secara dua hala secara langsung bagi membincangkan sebarang permasalahan yang berkaitan dengan akademik,” kata Aiman lagi.

DSC 6165

Aiman yang ditemui ketika Majlis Pembentangan Poster Latihan Industri PPKSBM ini turut menyatakan bahawa setiap kemahiran yang dipelajari juga sangat berguna untuk mempersiapkan pelajar dalam dunia pekerjaan yang sebenar manakala projek-projek yang dijalankan sepanjang pengajian boleh diaplikasikan ketika LI.

“Sebagai sebuah pusat pengajian, PPKBSM telah berjaya dalam menerapkan dan mendedahkan pelajarnya dengan konsep jurutera dengan kemahiran yang meluas serta pelbagai.

“Di PPKBSM, kami bukan sahaja perlu mahir untuk berhadapan dengan dunia pekerjaan itu sendiri akan tetapi kami juga perlu mempunyai kemahiran yang baik dari segi pengucapan awam serta komunikasi,” tambah Aiman.

Bercakap mengenai pengalaman beliau di Negara Mataharai Terbit tersebut, anak jati Pulau Pinang ini menyatakan bahawa sudut pandangan mereka secara berkumpulan dan bukanlah individual adalah satu contoh terbaik yang dipelajari.

DSC 6173

“LI ini dapat saya simpulkan sebagai satu pengalaman yang luar biasa dan sukar untuk dipercayai saya diberi peluang untuk merasai kemajuan budaya dan cara kerja mereka di sana yang 20 hingga 30 tahun ke hadapan dari negara lain.

“Dengan keberadaan saya di sana, saya diperlihatkan dengan semangat mereka dalam memastikan setiap perancangan dilakukan dengan sehabis baik memandangkan ianya akan mempengaruhi kejayaan pasukan secara bersama dan menyeluruh,” tambah beliau.

Beliau yang mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang yang disifatkan sebagai unik ini turut menyokong dalam menyaksikan lebih ramai individu memilih bidang Kejuruteraan Bahan sebagai bidang pilihan untuk melanjutkan pelajaran memandangkan penawaran bidang ini di Malaysia adalah terhad dan PPKBSM USM adalah antara yang terbaik.