Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KETIKA CINTA BERTASBIH II KETENGAHKAN ISU REMAJA DAN PERGAULAN BEBAS

DSC 6622

NIBONG TEBAL, 13 Oktober 2018 – Program Ketika Cinta Bertasbih II ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ telah berjaya menjadi medium kepada penganjur untuk mengetengahkan isu-isu berkaitan remaja dan pergaulan bebas yang merupakan antara masalah sosial utama negara pada masa ini.

Dianjurkan oleh HELWA Pusat Islam Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia, program ini menyasarkan pelajar-pelajar dari tiga buah sekolah rendah dan Sembilan buah sekolah menengah sekitar Daerah Seberang Perai Selatan, Kerian dan Parit Buntar yang berumur 12 hingga 17 tahun.

“Remaja Islam pada hari ini sedang membawa satu trend serta perlakuan yang negatif dan ianya turut dipengaruhi oleh faktor kawan-kawan yang bersifat ingin bersaing dan sifat individu di usia mereka juga yang mudah terikut-ikut.

DSC 6623

DSC 6639


“Fenomena ini menjadi lagi buruk dengan kewujudan media tanpa sempadan dan penggunaan telefon bimbit yang tidak dipantau oleh ibu bapa masing-masing yang seterusnya menjadikan kehidupan remaja-remaja ini lebih bebas sebelum terjerumus ke dalam kancah sosial seperti zina dan sebagainya,” kata Ketua Pegawai Esekutif Raudhatus Sakinah (RS), Ummi Rose.

DSC 6681


Perkara ini dapat dibuktikan lagi melalui statistik yang ditunjukkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara di mana sejumlah 159,725 bayi luar nikah dilahirkan oleh ibu yang beragama Islam sejak 2013 dan 2014 dikenal pasti sebagai tahun paling ramai anak luar nikah didaftarkan iaitu 54,614 orang.

DSC 6651


Oleh yang demikian, beliau menekankan bahawa menjadi tanggungjawab komuniti secara bersama untuk berusaha mengubati gejala ini dan ianya tidak akan dapat dilaksanakan jika kita hanya bercakap, menegur dan menunding jari tanpa turun padang serta terlibat secara langsung dalam membantu remaja-remaja yang bermasalah ini.

“Kita di RS wujud atas dasar melibatkan diri, mendalami, memberi bantuan, perlindungan, mencari punca masalah serta mencari jalan keluar melalui rancangan untuk membimbing mereka-mereka yang sudah tersasar jauh ini dengan menggunakan sebaik-baik kaedah,” ujar beliau di hadapan 244 orang peserta yang hadir.

DSC 6647

DSC 6665

“Kita berpegang kepada prinsip bahawa baik serta buruk masyarakat Islam di Malaysia pada hari ini akan memberi kesan kepada komuniti Islam di masa hadapan.

“oleh kerana itu, melalui program-program seperti ini, kami harap dapatlah ianya membendung gejala ini daripada terus menerus mempengaruhi remaja islam Malaysia yang seterusnya diharap dapat membuka mata mereka bagaimana perbuatan hari ini akan menjadi sebab kepada kebinasaan serta masa depan diri sendiri,” tambah Ummi Rose.

Raudhatus Sakinah ditubuhkan pada tahun 1998 oleh beberapa orang wanita sebagai sebuah pusat perlindungan dan bimbingan remaja puteri Islam yang berhadapan dengan masalah sosial dan memerlukan bimbingan dalam usaha kebajikan untuk menangani gejala ini di kalangan mereka.