Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SIRI SYARAHAN UMUM PELANTIKAN PROFESOR – TIGA PROFESOR PPKBSM BENTANG KEPAKARAN

DSC 6841

NIBONG TEBAL, 17 Oktober 2018 – Siri Syarahan Umum Perlantikan Profesor yang berlangsung di Dewan Auditorium Kampus Kejuruteraan memperlihatkan tiga orang profesor dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM), Universiti Sains Malaysia (USM) membentangkan tajuk kepakaran sempena dengan pelantikan masing-masing.

Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar , pakar dalam bidang Komposit Polimer di dalam pembentangan beliau mendedahkan akan potensi Nanokomposit Polimer samada ianya boleh digunakan dalam aplikasi elektronik memandangkan bahan komposit berasaskan thermoset ini semakin mendapat perhatian dalam aplikasi kerana ianya tahan suhu dan stabil haba tinggi berbanding bahan termoplastik.

“Selain daripada mudah diproses dengan kos yang lebih murah, bahan ini juga boleh dilipat mengikut reka bentuk yang diinginkan seterusnya menyebabkan ianya telah digunakan secara meluas di dalam aplikasi elektronik,” kata graduan Kejuruteraan Bahan USM yang dilantik sebagai profesor pada tahun 2012 ini.

DSC 6716

DSC 6725

“Walaupun terdapat beberapa cabaran dalam memastikan kejayaan penggunaannya, gabungan penggunaan bahan nano dan bahan polimer thermoset berupaya mengahasilkan bahan baharu yang berprestasi tinggi untuk digunakan dalam perkembangan produk elektronik ke arah Revolusi Perindustrian keempat.

“Oleh kerana saiz bahan nano yang sangat kecil dan permukaan ke nisbah isipadu yang besar, penambahan pengisi berukuran nano menghasilkan sifat berbeza berbanding pengisi bersaiz mikron walaupun dengan penggunaan kuantiti yang sedikit,” tambah Timbalan Dekan Akademik, Pelajar dan Alumni PPKBSM ini.

DSC 6718

Program anjuran PPKBSM ini telah menyaksikan kehadiran seramai lebih kurang 300 orang penonton termasuk keluarga profesor-profesor yang diraikan serta komuniti kampus.

Bagi Profesor Dr. Chow Wen Shyang pula, melalui tajuk syarahan Apabila Pengisi Nano Bertemu Polimer, beliau telah mengetengahkan enam topik penyelidikan iaitu Nanokomposit Adunan Poliamida 6/Polipropilena, Nanokomposit Poli (Butilena Tereftalat)Boleh Kitar Semula, Nanokomposit Poli (Asid Laktik) Lestari, Nanokomposit Hibrit Epoksi, Nanokomposit Lutsinar Poli (Asid Laktik)/Tiub Nano Haloisit dan Nanokomposit Poli (Asid Laktik)/Selulosa Nano.

DSC 6748

DSC 6758

“Ciri-ciri menarik Nanokomposit Polimer yang lebih baik daripada Mikrokomposit dari segi kekuatan, kekakuan, kestabilan terma dan lain-lain boleh digunakan secara meluas dalam industri perindustrian seperti automitif, pembinaan, aeroangkasa, tekstil.

“Penyelidikan berterusan kepada pengisi nano yang lain dengan ciri-ciri yang terpilih pula akan terus memajukan penggunaan nanokomposit ini dalam pelbagai sektor” kata Profesor yang pernah menerima anugerah Best Student of the Bachelor of Technology, Golden Medal Professor P.D. Ritchie, Best Student of Polymer Technology (The Plastics and Rubber Institute Malaysia) dan Petronas Higher Achiever Award ini.

Tajuk syarahan Teknologi Fotokatalis Nano TiO² Memastikan Kelestarian Hari Esok yang disampaikan oleh Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan pula membincangkan bagaimana pencemaran alam sekitar iaitu pencemaran udara dan air jika tidak diatasi dengan usaha pemeliharaan alam dan teknologi rawatan mampan akan menjejaskan kehidupan anak cucu kita di masa akan datang.

“Oleh yang demikian, pembangunan teknologi fotokatalis diharap akan menjadi salah satu daripada usaha teknologi mampan untuk menangani beberapa masalah pencemaran air dan udara yang terjadi” kata ibu kepada sepasang cahaya mata ini.

DSC 6820

DSC 6818

“Kecekapan Fotokatalisis Nano TiO² dalam menangani pencemaran udara dalaman, efluen industri batik dan penghasilan hidrogen adalah untuk menjamin kelestarian hari esok.

“Kesan signifikan kajian ini terhadap alam sekitar ialah peningkatan pembangunan ekonomi, imej negara dan kesejahteraan masyarakat secara bersama,” tambah anak murid kepada Profesor hebat USM iaitu Profesor Dr. Ahmad Fauzi Mohd Noor dan Profesor Dr. Zainal Arifin Ahmad ini.

DSC 6846

DSC 6707

Turut hadir dalam majlis syarahan ini adalah Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dan Dekan PPKBSM iaitu Profesor Ir. Dr. Zuhailawati Binti Hussain.