Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

HARI STATISTIK NEGARA 2018, KE ARAH MEMPERKASAKAN AGENDA KESEJAHTERAAN RAKYAT

NIBONG TEBAL, 27 Oktober 2018 – Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2018 Peringkat Zon Utara yang berlangsung hari ini mensasarkan agenda untuk memperkasakan kesejahteraan rakyat dalam suasana yang lebih santai melalui setiap aktiviti yang telah disediakan.

Berikut adalah seperti yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia (Ekonomi), Ibrahim Jantan dalam ucapan beliau mewakili Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin di hadapan lebih kurang 500 peserta yang hadir termasuk mahasiwa dan mahasiswi dari Universiti Sains Malaysia (USM).

“HSM juga diharap dapat mempromosikan jabatan ini dan seterusnya dijadikan sebagai pemangkin kepada pengetahuan masyarakat mengenai pengurusan statistik negara.

“Malah, cabaran sebenar di sebalik penganjuran program ini adalah bagaimana untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dalam menyediakan kapasiti produk insan profesional bidang statistik menjelang tahun 2020 iaitu seramai 20,000 orang,” tambah beliau.

Ibrahim turut menyatakan bahawa buat masa ini, ledakan data informasi dalam dunia tanpa sempadan yang seiring dengan penggunaan sistem-sistem sosial yang wujud walaupun tidak ternilai tapi belum dapat ditadbir urus dengan baik disebabkan oleh ekploitasinya yang di luar batasan.

Sambutan HSN yang merupakan kali kedua pengajuran seumpanya selepas yang pertama pada tahun 2017 adalah bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan ahli statistik di Malaysia, terutamanya dalam bidang pengurusan statistik rasmi berdasarkan asas-asas perkhidmatan, integriti dan profesionalisme.

Bagi Pengarah, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Pulau Pinang, Mohd Suhaimi Mohd Yunus pula, penglibatan pihak atasan yang sanggup turun padang untuk sama-sama meningkatkan statistik sebagai asas kelestarian kehidupan bermasyarakat dan negara jelas menunjukkan keprihatinan mereka akan kepentingan perkara ini.

“Selain daripada itu, usaha DOSM Pulau Pinang selaku penganjur bersama-sama dengan DOSM Kedah, DOSM Perak dan DOSM Perlis juga wajar dipuji dalam usaha masing-masing untuk merealisasikan kejayaan HSN ini,” kata beliau.

Dengan tema ‘Data Berkualiti Kehidupan Sejahtera’ HSN diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia pada 20 Oktober setiap tahun sejajar dengan sambutan bagi Hari Statistik Dunia sebagai pengiktirafan kepada komuniti statistik seperti pengiktirafan kepada bidang profesional yang lain di negara kita.

SHN juga melalui aktiviti penyusunan statistik seperti promosi Survei Pertubuhan Ekonomi Tahun 2018, Banci Perdagangan Edaran bagi Sektor Perniagaan Borong Runcit dan Kenderaan Bermotor 2019, Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2019 serta aktiviti statistik yang terbesar iaitu Banci Penduduk dan Perumah 2020 diharap dapat memberi impak yang besar kepada pengukuran pencapaian ekonomi dan sosial negara.

Teks: Siti Faizah Abd Halim