MOHD ARIFFUDIN YDP MPP PERTAMA CALON DOKTOR FALSAFAH

arifuddin

USM, PULAU PINANG, 20 Disember 2018 – Mohd Ariffudin Sah Harudin, 26, dipilih sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPP USM) bagi sidang akademik 2018/2019 yang baharu.

Mohd Ariffudin adalah YDP yang pertama dalam sejarah USM dilantik dalam kalangan pelajar calon Doktor Falsafah setelah sekian lama hanya dilantik dalam kalangan pelajar ijazah sarjana muda.

Mohd Arifudin adalah calon Ph.D dalam bidang Geografi Bandar Metropolitan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan sebelum ini telah tiga tahun berturut-turut dipilih sebagai MPP USM.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, pemilihan YDP MPP dalam kalangan pelajar ijazah tinggi ini adalah sesuatu yang baik dan berharap YDP dapat menyatukan di antara pelajar ijazah tinggi dan ijazah sarjana muda.

“Pemilihan ini juga diharap dapat mengintegrasikan para pelajar dalam pelbagai peringkat pengajian.

2

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua 45 pelajar yang dilantik sebagai MPP bagi sidang akademik ini dan juga kepada 250 orang mahasiswa yang dipilih secara rawak dalam kalangan 500 orang yang memohon menjadi ahli jawatankuasa Urusetia Pelajar Pemilihan MPP yang pertama kalinya ditubuhkan,” tambah Asma semasa menyampaikan amanat kepada semua ahli MPP baharu.

Naib Canselor turut memuji mahasiswa USM yang terlibat kerana menunjukkan kematangan dan kesungguhan serta semangat kesukarelawanan yang tinggi apabila diberi ‘empowerment’ untuk melaksanakan proses Pilihanraya Kampus sepenuhnya kali ini.

“Saya ingin melihat MPP USM bergerak seiring dengan tuntutan dan keperluan semasa penuntut dalam menjalankan aktiviti dan program ke arah menjadikan USM The Preferred University by Design,” kata Asma.

2

Pada majlis yang sama, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein yang menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam pemilihan MPP yang berjalan lancar.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada urusetia pelajar dan juga staf yang melicinkan proses pemilihan MPP pada tahun ini,” tambah Adnan.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dan pengurusan tertinggi universiti serta ketua-ketua jabatan.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain / Foto: Ebrahim Abdul Manan

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI