Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

BENGKEL RETREAT MANCID BINCANG HALATUJU MASA HADAPAN

DSC 8963

NIBONG TEBAL, 12 Januari 2019 – Penstrukturan semula halatuju Malaysia National Committee on Irrigation and Drainage (MANCID) menjadi perbincangan utama Bengkel Retreat dan Mesyuarat Excom Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu yang diadakan di sini hari ini.

Berikut adalah seperti yang disampaikan oleh Pengerusinya, Ir. Hj. Ahmad Darus di di Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Universiti Sains Malaysia hari ini.

“Bengkel ini adalah susulan daripada perjumpaan kita dengan Ketua Setiausaha di kementerian yang menyuarakan agar kita merangka semula strategi-strategi baharu membantu MANCID untuk mencapai matlamat yang telah dipersetujui di masa hadapan,” kata Ahmad.

“Selain daripada itu, kita akan melihat semula kaedah yang boleh digunakan untuk mempromosikan ahli-ahli kita di dalam dan luar negara untuk memastikan ilmu yang mereka ada dapat dikongsi dengan masyarakat di luar sana,” tambah beliau.

DSC 8929

DSC 8933

Diadakan selama tiga hari dari 11 hingga 13 Januari 2019, bengkel ini turut menjemput penceramah jemputan yang juga merupakan mantan pengerusi MANCID dan mantan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Dato’ Paduka Prof. Dr. Ir. Hj. Keizrul Abdullah.

Beliau yang meletakkan perjumpaan kali ini sebagai fasa pertama dalam menerima segala bentuk cadangan berdasarkan pengalaman-pengalaman ahli yang terlibat berkata bahawa ianya perlu untuk MANCID mengkaji semula visi dan misinya bersama-sama perubahan yang seiring dengan keadaan dunia pada hari ini.

DSC 8952

DSC 8960

“Setiap perkara baharu yang dibincangkan pada hari ini perlu mendapat persetujuan secara bersama kerana kelak ianya akan menjadi panduan kepada ahli-ahli lain dalam memastikan MANCID kekal relevant dan perubahan yang ingin dilaksanakan juga tercapai,” tambah Keizrul yang mempunyai 34 tahun pengalaman dalam bidang kejuruteraan air dan sumber air ini.

Bagi Pengarah Kampus yang juga merupakan Pengarah REDAC, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria pula, beliau sangat berbesar hati akan kesudian Dato’ Paduka Prof. Dr. Ir. Hj. Keizrul Abdullah untuk hadir dan berkongsi kearifan beliau dalam bengkel ini.

DSC 8971

DSC 8978

“Kesempatan seperti ini memang selayaknya diberikan kepada beliau yang merupakan antara individu terpenting dalam memastikan penubuhan REDAC di mana pada ketika itu, beliau masih bergelar Pengarah, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia,” kata Azazi.

“Selain daripada itu, pengalaman dan kearifan beliau di dalam bidang ini tiada tolok bandingannya. Malah, sehingga hari ini beliau masih memainkan peranan secara aktif dalam menerima jemputan berkaitan kejuruteraan air dan sumber air dari pelbagai pihak di dalam serta luar negara,” tambah Azazi.

Mengakhiri perbualan, Azazi turut berharap agar hubungan ini akan mencipta kesinambungan yang lebih cemerlang bagi kedua-dua belah pihak di masa hadapan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman