Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SRIKANDI KAMPUS KEJURUTERAAN BERJUANG DI KEJOHANAN SUKJAB BADMINTON WANITA 2019

2

Kejohanan sulung SUKJAB Badminton Wanita 2019, Piala Profesor Dr. Taksiah A. Majid, anjuran Kelab Kebajikan & Sukan Staf Kampus Kejuruteraan (KKSSK) telah berjaya menggeratkan ukhuwah staf-staf wanita di Kampus Kejuruteraan.

Di samping itu, ianya juga telah berjaya mencungkil bakat pemain-pemain badminton wanita yang selama ini terpendam. Galakan dan sokongan padu daripada Pengarah Kampus Kejuruteraan, Professor Dr. Nor Azazi Zakaria memberikan suntikan semangat kepada ahli-ahli jawatankuasa dan urusetia kejohanan kali ini. Bimbingan dan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada kesemua exco KKSSK juga telah mendorong kejayaan kejohanan ini.

Kejohanan yang telah berlangsung pada 26 Januari lalu telah dimulakan dengan upacara pembukaan yang gilang gemilang. Seramai lebih kurang 50 orang peserta kejohanan bersiap sedia di dalam gelanggang menantikan ketibaan penyumbang piala iaitu Prof Taksiah dengan iringan muzik ‘Standing in the Eyes of the World’. Prof Taksiah telah diperkenalkan kepada kesemua pemain yang mewakili 6 zon yang merupakan gabungan pelbagai pusat pengajian dan jabatan. Kejohanan dirasmikan dengan servis pertama penyumbang piala kepada pengarah kejohanan.

1

Sepanjang kejohanan berlangsung, kesemua pemain yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur telah mempamerkan semangat juang yang sangat tinggi. Bagi menyemarakkan lagi semangat pemain dan penyokong yang memenuhi gelanggang, pemain-pemain peringkat akhir telah diarak masuk dengan iringan muzik ‘ Mentera Semerah Padi’.

3

Zon 4 yang terdiri daripada PPK Awam, REDAC, PP Bahasa Literasi & Terjemahan serta Desasiswa Jaya telah berjaya mengungguli kejohanan kali ini. Naib juara pula disandang oleh Zon 3, manakala Zon 5 dan Zon 2 masing-masing di tempat yang ketiga dan keempat. Senyuman manis juga terukir indah di bibir kesemua srikandi yang kurang bernasib baik di dalam kejohanan kali ini apabila mereka juga membawa pulang hadiah saguhati dan sijil penyertaan.

Semoga aktiviti ini akan terus menjadi medan riadah kepada seluruh warga wanita dan menjadikan gelanggang badminton tempat untuk bersaing secara sihat. Syabas dan tahniah diucapkan kepada kepada Zon 4, kesemua peserta kejohanan dan juga kesemua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan kejohanan kali ini.

Teks: Dr. Noor Aida Saad