PENGARAH RASMI KOLAH BAHARU MASJID KAMPUS KEJURUTERAAN

DSC 9019

NIBONG TEBAL, 28 Januari 2019 – Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria hadir dalam merasmikan Kolah Baharu Masjid Kampus Kejuruteraan dan Majlis Kesyukuran yang diadakan di sini baru-baru ini.

Beliau dalam ucapannya menyeru seluruh warga kampus untuk bersatu dan bersama-sama dalam memajukan kampus demi manfaat staf, pelajar serta komuniti sekitar yang turut menggunakan kemudahan masjid ini.

DSC 9009

“Selaku khalifah Allah SWT yang diberikan akal fikiran, kita harus sentiasa bersedia dalam mengutarakan solusi-solusi yang baharu untuk kemudahan-kemudahan yang kelak akan memudahkan aktiviti ibadah seharian umat islam.

“Selain daripada dapat memajukan kampus ini, setiap amal perbuatan yang dilakukan di dunia ini akan menjadi saham akhirat kita kelak,” tambah Azazi.

Dengan kehadiran lebih kurang 200 orang tetamu, Azazi turut menyampaikan ucapan terima kasih beliau di atas sokongan semua pihak termasuklah Kelab Kebajikan dan Sukan Staf Kejuruteraan (KKSSK) serta Jabatan Pembangunan yang telah berusaha bersama-sama Pusat Islam ke arah penambahbaikan kampus.

DSC 9031

Bagi Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Ustaz Mohammad Shukri Osman, pelancaran ini diharap dapat mengimarahkan lagi pembangunan fizikal kampus.

“Malah, saya berasa sukacita menjadi sebahagian daripada warga kampus ini yang mana hubungan mesra dan kerjasama warganya adalah sesuatu yang boleh dibanggakan,” kata Shukri.

DSC 9033

“Sokongan semua pihak yang terlibat menjadi faktor utama dalam pembangunan berterusan kampus ini dan saya mendoakan agar hubungan yang terjalin ini akan berpanjangan sehingga ke syurga Allah swt hendaknya,” tambah beliau.

Majlis ini turut melibatkan beberapa sukarelawan daripada Persatuan Hal Ehwal Wanita (HELWA) Pusat Islam USM yang telah menjadi tulang belakang di sebalik kelancaran majlis yang diadakan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI