Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PENGARAH KAMPUS KEJURUTERAAN TERAJU KOLABORASI PENYELIDIKAN USM-JKR

WhatsApp Image 2019 03 22 at 9.08.13 AM

NIBONG TEBAL, 18 Mac 2019 – Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria akan mengetuai Projek Kajian Secara Kolaborasi melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara USM-JKR baru-baru ini.

“Melalui kajian ini, kita akan mendalami pemahaman konsep asas dalam merancang dan merekabentuk sistem saliran berteknologi hijau yang mematuhi keperluan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA).

“Selain daripada itu, kita akan turut mengkaji keberkesanan penggunaan Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS) dalam projek-projek perintis terpilih yang telah dijalankan oleh JKR,” kata Azazi ketika ditemui di pejabat beliau, di sini, hari ini.

Modul Latihan dalam bidang pengurusan sistem saliran bandar kepada jurutera-jurutera JKR akan turut dihasilkan melalui program CPD dalaman semasa sepanjang kajian dijalankan kelak.

WhatsApp Image 2019 03 22 at 4.23.15 PM

Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), USM yang turut diterajui oleh Azazi, selaku perintis kepada sistem saliran berteknologi hijau di Malaysia akan terlibat secara langsung di dalam projek yang akan mengambil masa selama tiga tahun bermula pada 10 Mac 2019 ini dengan jumlah geran adalah RM640,480.00.

WhatsApp Image 2019 03 22 at 8.53.06 AM

Dua projek semasa JKR akan digunakan sebagai Projek Perintis di dalam kajian ini iaitu Projek Pembangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Kelantan dan Projek Pembangunan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Kluang, Johor.

WhatsApp Image 2019 03 22 at 4.23.13 PM

Menurut Azazi, pemilihan kedua projek ini adalah bertepatan dengan menggunapakai dua jenis skala projek yang berlainan untuk melengkapkan pengetahuan dalam sistem pengurusan saliran bandar yang mematuhi keperluan MSMA.

“Malah, ianya sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan teknologi hijau dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang lestari dan mesra alam serta mapan,” tambah beliau.

Bagi pihak USM, selain daripada Azazi, penyelidikan ini akan turut dijalankan bersama Ketua Penyelidik dari REDAC iaitu Ir. Dr. Chang Chun Kiat manakala dari JKR, lima orang penyelidik akan terlibat iaitu Ir. Sanisah Sulaman, Ir. Sumie Sarmiza Abd Suki, Ir. Mazzuwan Mohd Diah, Nor Ezlyn Othman dan Izwan Shah Ibrahim.

Sebagai sebahagian daripada MoA ini, lima orang penyelidik dari JKR akan turut berdaftar di REDAC sebagai pelajar ijazah tinggi (separuh masa).

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Mohd Fairus Md Isa