Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

EMPAT LAGI BIDANG KURSUS KEJURUTERAAN USM PEROLEH AKREDITASI PENUH BEM

EAC 2019 Tahniah 6 Tahun 7

NIBONG TEBAL, 10 April 2019 – Empat lagi kursus kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya memperolehi enam tahun akreditasi penuh dari Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) baru-baru ini.

Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian), Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Kepujian), Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik (Kepujian) dan Sarjana Muda Kejuruteraan Polimer (Kepujian) memperolehi enam tahun akreditasi dari 2019 hingga 2024.

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria yang dihubungi mengucapkan tahniah beliau di atas pencapaian semua pusat pengajian yang disifatkan beliau sebagai penyuntik semangat baharu dalam melahirkan generasi yang lebih berkualiti dalam bidang kejuruteraan negara.

“Semoga dengan perolehan ini akan melahirkan jurutera yang bukan sahaja berkualiti dan diiktiraf, malah akan menjadi salah satu daripada penyumbang utama kepada kemajuan negara kita di masa akan datang,” kata Azazi lagi.

Malah, beliau turut menghargai setiap usaha keras serta komitmen yang ditunjukkan oleh setiap pusat pengajian dalam memastikan bidang kejuruteraan yang ditawarkan USM kekal relevan dan selari dengan permintaan industri di dalam dan luar negara.

“Menjadi sebahagian terbaik di kalangan yang terbaik adalah salah satu daripada matlamat kita di universiti ini dan dengan pemberian status ini jelas menunjukkan bahawa kita serius dalam memastikan kedudukan kita adalah setaraf dengan universiti-universiti terkemuka yang lain,” tambah Azazi.

Perolehan Akreditasi selama enam tahun ini adalah susulan daripada lawatan Engineering Accreditation Council Malaysia (EAC) ke Kampus Kejuruteraan pada 14 dan 15 November 2018 yang lalu.

Selain daripada itu, bidang kursus kejuruteraan lain seperti Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Mekanikal, Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Pembuatan, Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Elektrikal, Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Elektronik, Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Bahan dan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Sumber Mineral telah diberikan status enam tahun Akreditasi pada 21 Mac 2018. Manakala Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Aeroangkasa pula diberikan tiga tahun akreditasi pada tarikh yang sama.

Turut gembira dengan pemberian status ini dan menyampaikan ucapan tahniah kepada semua pusat pengajian yang terlibat adalah Penyelaras Bahagian Kualiti dan Akreditasi Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Azura A. Rashid.