Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

500 ORANG HADIRI RENTAK SEJIWA FETE & FIESTA 2019

NIBONG TEBAL, 1 April 2019 – 500 orang penonton dari kalangan staf serta pelajar Kampus Kejuruteraan dan masyarakat luar hadir menyaksikan konsert Rentak Sejiwa Fete & Fiesta yang diadakan di Dewan Utama semalam.


Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Nor Azazi Zakaria dalam ucapan beliau ketika merasmikan majlis berkata program ini dilihat sebagai salah satu wadah penting dalam konteks menyatupadukan hubungan antara kaum yang berlatarbelakangkan pelbagai bangsa dan budaya.

“Ini adalah penting untuk merealisasikan konsep ‘Bangsa Malaysia’ di mana setiap rakyat Malaysia bersatu dan menerima budaya yang berbeza antara satu sama lain tanpa mengira kaum, agama dan bangsa,” kata Azazi.

“Di samping itu, program ini juga dapat memberi peluang kepada pelajar kejuruteraan kita untuk menonjolkan bakat-bakat terpendam terutamanya dalam seni tarian, nyanyian dan mempertahankan diri,” tambah beliau.

Malah, Azazi turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa Rentak Sejiwa Fete & Fiesta di bawah kelolaan Majlis Penghuni Desasiswa Jaya Lembaran Utama (MPDJLU) bersama Sekretariat Semarak Bahasa (SSB) dan Unit Kebudayaan, Kesukarelawan dan Keusahawanan BHEPA atas komitmen dan usaha mereka dalam menerajui program ini.

Program Rentak Sejiwa Fete & Fiesta 2019 diadakan sempena dengan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun USM yang bertujuan untuk memberi pendedahan akan pelbagai kebudayaan kaum yang terdapat di Malaysia.

Selain daripada itu, program ini turut diharap dapat memupuk minat dan penerimaan pelajar serta penonton yang hadir akan keunikan bangsa yang pelbagai di dalam negara kita.

Artis jemputan, Andi Bernadee serta lapan kumpulan yang terdiri dari kalangan pelajar USM yang mewakili pelbagai kaum utama di negara ini berjaya menghiburkan mereka yang hadir melalui persembahan masing-masing.

Turut hadir adalah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Madya Dr. James Laeng@ Jamaluddin Abdullah.

Teks: Siti Faizah Abd Halim