Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

ASAH DAN KENALPASTI BAKAT TERPENDAM DI EKSPO KEUSAHAWANAN 2019

DSC 3045

NIBONG TEBAL, 26 April 2019 – Ekspo Keusahawanan anjuran Pusat Rancangan Kokurikulum, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia hari ini menjadi medan kepada pelajar yang terlibat untuk mengasah dan mengenalpasti bakat terpendam mereka sebagai seorang usahawan.

Berikut adalah seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi Rancangan Kokurikulum, Dr. Azam Taufik Mohd Din ketika ditemui pada hari kedua Ekspo yang berlangsung di Dewan Utama Kampus Kejuruteraan hari ini.

“Walaupun kita tidak meletakkan sebarang sasaran wajib yang perlu dicapai oleh mereka sepanjang ekspo selama dua hari ini berlangsung, kami tetap akan memastikan mereka sekurang-kurangnya berjaya dalam satu sesi jual beli,” kata Azam.

DSC 3037

DSC 3041

“Perkara ini secara langsung akan menarik minat pelajar dalam aktiviti keusahawanan dan turut mendedahkan mereka akan kemahiran untuk berhadapan dengan orang ramai dalam dunia yang sebenar,” tambah beliau lagi.

664 orang pelajar terlibat di dalam ekspo ini yang merupakan sebahagian daripada Kursus WUS 101 iaitu satu daripada kursus wajib universiti dalam memenuhi tuntutan untuk setiap pelajar memperolehi ijazah masing-masing kelak.

DSC 3049

DSC 3064

Bagi Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakari yang ditemui ketika kunjungan beliau ke ekspo tersebut berkata bahawa program seperti ini dapat menjadi satu ruang yang bagus kepada semua pelajar mengasah kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif masing-masing.

“Kita sedia maklum bahawa tiada sasaran wajib ditetapkan namun, kita juga tahu bahawa aktiviti jual beli masih perlu dijalankan oleh 111 kumpulan yang telibat.

“Oleh yang demikian, mereka harus melakukan penelitian yang mendalam serta memahami kehendak pembeli dan permintaan pasaran pada hari ini untuk memberi pulangan yang memberangsangkan disamping .mengelakkan kerugian perniagaan,” tambah Azazi.

Ekspo Keusahawanan 2019 ini melibatkan semua pelajar Semester 1, Sidang Akademik 2019/2020.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman