Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM CYCLING TOUR DE CAMPUS, KAYUHAN SEJAUH 467 KM SEMPENA 50 TAHUN USM

DSC 0600

NIBONG TEBAL, 23 Ogos 2019 – Kampus Kejuruteraan menganjurkan USM Cycling Tour De Campus yang menyaksikan kayuhan basikal sejauh 467 km melalui lapan perhentian yang merupakan program khas sempena 50 tahun usia universiti.

Wakil Pengarah Kampus yang juga merupakan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM), Profesor Madya Dr. Jamaluddin Bin Abdullah dalam ucapan beliau berkata bahawa aktiviti seperti ini merupakan satu inisiatif yang sangat dialu-alukan oleh pihak universiti terhadap warganya.

Apatah lagi, penganjuran program khas di bawah kelolaan Kelab Berbasikal universiti ini dapat dijadikan contoh dan galakan kepada semua pihak untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat dan pentingnya aktiviti fizikal untuk kesihatan.

DSC 0007

DSC 0072

Program selama empat hari tiga malam ini melibatkan penyertaan daripada 12 orang peserta yang merupakan atlet berbasikal, terdiri dari kalangan staf akademik, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Kumpulan Sokongan dan Pelaksana dan pelajar daripada semua kampus USM.

Kayuhan ini juga akan menzahirkan sisi lain universiti dalam mendekati mereka yang kurang bernasib baik melalui penyerahan bantuan kelengkapan harian yang akan disumbangkan ke Pusat-pusat Tahfiz, Rumah Anak-anak Yatim dan pesakit-pesakit yang memerlukan di HUSM.

DSC 0145

DSC 0224

Jamaluddin turut mengingatkan kepada peserta yang terlibat untuk menjaga nama baik USM sepanjang sesi kayuhan dan tidak mengabaikan keselamatan diri masing-masing serta rakan sepasukan supaya sampai ke destinasi tujuan dengan selamat.

Program di bawah naungan Pengarah Kampus Kejuruteraan Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sukan Kampus Kejuruteraan turut diwujudkan adalah berdasarkan hasrat dan tanda penghargaan serta terima kasih ahli kelab kepada Universiti Sains Malaysia dalam pembangunan sukan basikal sepanjang 50 tahun ini.

DSC 0933

DSC 0601

DSC 1003

Antara destinasi-destinasi yang terlibat adalah Perkarangan Canselori USM, Perkarangan Bangunan Pentadbiran Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, Perkarangan Bangunan Pentadbiran, Kampus Kejuruteraan USM , Kampus Kesihatan USM dan Maahad Tahfiz Sumpitan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Abdul Hafiz Abdul Hamid