Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

636 BAKAL JURUTERA MENDAFTAR DI KAMPUS KEJURUTERAAN USM

DSC 1183

NIBONG TEBAL, 2 September 2019 – Seramai 636 bakal jurutera yang merupakan pelajar baharu bidang mendaftar masuk di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) pada sidang akademik 2019/2020 hari ini.

Mereka adalah antara 4,684 penuntut baharu bagi program pengajian Ijazah Sarjana Muda yang mendaftar di USM sejak 1 September 2019 melalui saluran perdana iaitu mereka berkelulusan dari Matrikulasi/STPM/Diploma/Setaraf.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam ucapan ketika hadir sama ketika sesi pendaftaran berkata bahawa universiti ini sentiasa gembira serta positif dalam mengalu-alukan ketibaan semua pelajar.

DSC 1233 tile

DSC 1203 tile

“Oleh yang demikian, kita juga berharap agar pelajar-pelajar ini akan turut berbangga kerana terpilih di antara puluhan ribu yang telah memohon melalui UPU online bagi kemasukan ke universiti awam sidang kali ini dan terus cemerlang dalam empat tahun akan datang,” kata beliau.

“Apatah lagi program-program yang ditawarkan di USM, dalam bidang kejuruteraan khususnya adalah bersifat kompetitif yang diiktiraf bukan sahaja oleh badan-badan profesional dari dalam serta luar negara, malah turut diperakui melalui permintaan tinggi oleh pihak industri,” tambah Farhan.

DSC 1276 tile

DSC 1301 tile

Selain daripada itu, Farhan turut menekankan kepada ibu bapa untuk melepaskan anak-anak belajar di USM dengan hati yang terbuka dan berlapang dada memandangkan mereka kini berada di dalam kampus yang bukan sahaja kondusif malah selamat.

“Inilah masanya untuk anda meletakkan amanah dan sepenuh kepercayaan dalam memastikan mereka matang seiring dengan ilmu serta pengalaman yang akan diperolehi sepanjang bergelar pelajar di universiti dalam taman ini,” tambah Farhan yang juga merupakan salah seorang daripada pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam ini.

“Kita di USM terutamanya di Kampus Kejuruteraan akan memastikan siswa siswi ini hebat bukan sahaja dari segi teknikal tetapi juga hebat dengan ciri-ciri yang holistic, entrepreneurial, balance, articulate dan thinking agar mereka dapat menjadi jurutera yang disegani di masa hadapan,” kata beliau lagi.

DSC 1406 tile

Kampus Kejuruteraan USM terbahagi kepada enam buah pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Pusat Pengajian Elektrik dan Elektronik, Pusat Pengajian Kimia dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.

Daripada enam buah pusat pengajian ini, sebanyak 11 program ditawarkan seperti Kejuruteraan Polimer, Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Pembuatan dengan Pengurusan dan Kejuruteraan Sumber Mineral dan Kejuruteraan Mekanik.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman