Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

ANUGERAH KEJURUTERAAN UEM 2015, EMPAT CALON LEPASI PERINGKAT PERTAMA

UEM 2146

NIBONG TEBAL, 12 Ogos 2015 – Empat orang mahasiswa kejuruteraan dari pelbagai bidang berjaya melepasi temuduga dan penilaian peringkat pertama bagi merangkul Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan UEM tahun 2015 di sini hari ini.

Bakal penerima anugerah ini, akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 beserta sijil yang akan diraikan dalam satu majlis khas dijangka akan dilaksanakan pada bulan November 2015 dan layak diberi tawaran untuk menjadi “UEM Young Engineers Programme (YEP)” atau terus bekerja dengan syarikat tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan UEM, Y.Bhg. Datin Nur Rubaiha Mohamed Nor berkata kesemua calon dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun ini mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing.

“Secara keseluruhan, keempat-empat calon USM hari ini sangat hebat dan ini merupakan cabaran kepada pihak UEM untuk membuat pilihan calon yang terbaik yang akan menerima anugerah ini”, kata Rubaiha yang juga merupakan ketua panel temuduga peringkat pertama anugerah tersebut.

Katanya, calon-calon yang dipilih pihak universiti pada tahun ini lebih bersedia dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai UEM dan menunjukkan minat yang tinggi untuk menjadi jurutera yang hebat serta lebih matang ketika menjawab soalan semasa sesi temuduga.

Beliau turut mengakui bahawa graduan yang lahir dari Universiti Sains Malaysia sering mendapat perhatian dari syarikat-syarikat gergasi bukan sahaja dari dalam negara malah dari negara-negara luar seperti Singapura, Taiwan, China dan sebagainya.

Sementara itu, Pengurus Besar, UEM Builders Berhad, Lokman Hamzah turut bersetuju dengan Y. Bhg. Datin bahawa semua calon yang dikemukakan oleh USM merupakan calon yang hebat dan mempunyai potensi yang tinggi dalam bidang kejuruteraan.

“Saya lihat mereka mempunyai tahap keyakinan yang sangat tinggi dan berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini seterusnya mampu memberikan sesuatu kepada negara dan kembali menyumbang bakti kepada universiti satu hari nanti”, kata Lokman yang juga merupakan panel kedua UEM Group Bhd.

Dalam pada itu, salah seorang calon yang ditemui iaitu dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Chuah Wei Hoong, 24, berkata beliau sangat berminat untuk menjadi seorang jurutera dan turut teruja untuk menjadi sebahagian daripada keluarga UEM.

“Memiliki anugerah merupakan bonus kepada saya tetapi saya lebih teruja untuk mengejar cita-cita saya sejak dari kecil lagi iaitu untuk menjadi seorang jurutera yang hebat”, kata Chuah yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Manakala, calon daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Noorhafizah Mokhtar, 23, berkata sekiranya beliau berjaya memenangi anugerah tersebut beliau akan menggunakan ganjaran yang diberikan oleh pihak UEM sebanyak RM5,000 itu untuk membina alatan khas dengan menggunakan teknologi solar bagi membantu memudahkan kerja-kerja di kebun bapanya.

Menurut anak kelapan daripada sembilan beradik itu, beliau berbangga menjadi pelajar Universiti Sains Malaysia dan tidak dapat melupakan suka duka sepanjang empat tahun menimba ilmu di Kampus Kejuruteraan.

“Saya sering menasihati adik-adik di pusat pengajian supaya belajar bersungguh-sungguh kerana bagi saya, tidak ada yang mustahil dalam dunia ini, sekiranya kita mempunyai semangat dan usaha untuk menjadi yang terbaik”, kata Noorhafizah.

Dua calon lain yang hadir sesi temuduga tersebut ialah Sharmizar Abdul Aziz, 23, dan William Ong Chew Fen, 24, masing-masing dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Turut hadir sebagai panel jemputan ialah Timbalan Dekan, Jaringan Industri & Masyarakat, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Ir. Dr. Mohamad Razip Selamat, Timbalan Dekan, Jaringan Industri & Masyarakat, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Dr. Mohd Rizal Arshad dan Pengerusi Rancangan Mekanikal, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Dr. Mohamad Yusof Idroas.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin