KONVOKESYEN KOMEMORATIF USM UKIR SEJARAH KECEMERLANGAN MENARA ILMU

IMG 0571

USM PULAU PINANG, 23 September 2019 – Upacara Konvokesyen Komemoratif dan Upacara Konvokesyen ke-57 Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung hari ini sehingga 29 September amat bermakna dan istimewa kepada USM kerana turut meraikan ulang tahun ke-50 penubuhannya.

Berangkat hadir di upacara tahun ini ialah Canselor USM, D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis D.Y.M.M. Tuanku Tengku Fauziah Binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid.

Paling bermakna apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad dikurniakan anugerah khas - Anugerah Kelestarian Canselor bagi upacara konvokesyen komemoratif beserta tiga penerima ijazah kehormat lain iaitu ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David, penerima hadiah Nobel Profesor Dr. Shuji Nakamura dan mantan Pendaftar USM Dato’ Hajah Siti Mazenah Saad.

Sementara itu, Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, anugerah kepada Tun Dr. Mahathir akan disampaikan Tuanku Canselor USM di Istana Arau, Perlis pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik.

Seramai 6,338 graduan bakal menerima skrol masing-masing sepanjang konvokesyen USM kali ini dalam sepuluh sidang.

YB Menteri ketika berucap turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri dan semua penerima selain turut berkata kehebatan sesebuah negara banyak bergantung kepada kehebatan rakyatnya dan beliau yakin bahawa negara sebenarnya mempunyai bakat-bakat yang berada pada tahap global.

Tambah beliau lagi, hingga hari ini, USM sudah meneraju dunia pendidikan selama 50 tahun. Banyak kejayaan yang dilakar dan banyak sumbangan yang telah diberikan untuk pembangunan negara.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI