Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KARNIVAL HARI TERBUKA PPKA RAI 30 TAHUN PENUBUHAN SEJAK 1989

DSC 4119

NIBONG TEBAL, 2 Oktober 2019 –Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) Universiti Sains Malaysia (USM) meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke 30 tahun dengan penganjuran Karnival Hari Terbuka di sini hari ini.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa penganjuran program ini adalah sebahagian daripada usaha pusat pengajian untuk mendekati masyarakat terutamanya dari kawasan yang berdekatan.

“Memandangkan penglibatan bersama komuniti adalah salah satu daripada cabang kemahiran universiti, kita berharap agar program seperti ini akan membuka peluang kepada masyarakat di luar sana untuk lebih mengenali bidang kepakaran yang ada serta ditawarkan di PPKA ini,” kata Farhan.

DSC 4107

Dianjurkan oleh pelajar PPKA termasuk 12 orang pelajar antarabangsa, karnival ini turut disertai oleh 66 orang pelajar daripada beberapa sekolah sekitar iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkrian, Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Indah dan Sekolah Menengah Methodist Nibong Tebal.

Malah, beliau turut menggesa agar diwujudkan satu hubungan yang kukuh dan berkesan antara pusat-pusat pengajian kejuruteraan dan industri yang mana ianya pasti dapat dicapai melalui penganjuran program seperti ini yang jelas membuka peluang kepada lebih banyak usahasama di masa akan datang.

DSC 4076

DSC 4111

“Program ini juga diharap dapat menjadi medium untuk melahirkan graduan kejuruteraan dengan daya saing tinggi dan H.E.B.A.T seperti yang disarankan oleh USM,” tambah Farhan yang juga merupakan Profesor Kejuruteraan Pengangkutan PPKA ini.

Sesi ceramah perkongsian kepakaran oleh Ketua Pegawai Eksekutif Gruppe Consultant Sdn Bhd yang juga jurutera menara jam Mekah, Datuk Ir. Haji Wan Nazri Haji Wan Aria turut diadakan pada hari pertama program selain forum yang melibatkan empat orang alumni PPKA iaitu Ts. Yeo Siang Chuan, Ir Spencer Klumai, Ir Kamarul Badlishah Kamarulzaman dan Sharvin A/L M Poovaneshvaran.

DSC 4132

Dekan, Profesor Ir. Dr. Taksiah A. Majid pula berkata bahawa beliau sangat mengalu-alukan semua pihak dari dalam dan luar USM untuk hadir dan seterusnya menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan sepanjang berlangsungnya karnival hari ini hingga 5 Oktober akan datang.

“Semoga penganjuran ini akan dapat memberi manfaat dari pelbagai sudut yang positif dan menunjukkan bahawa kita di PPKA sentiasa bersedia menerima kedatangan semua pihak demi pengembangan ilmu pengetahuan, dalam bidang kejuruteraan terutamanya,” tegas Taksiah.

“Saya juga berharap agar program ini akan memupuk minat anak-anak dari tiga sekolah sekitar yang menyertai kita hari ini dalam bidang kejuruteraan.

“Semoga mereka akan kembali semula ke kampus ini dalam beberapa tahun akan datang untuk mendaftar dan menjadi sebahagian daripada pelajar dalam bidang kejuruteraan di USM,” tambah beliau lagi.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman