Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SYARAHAN UMUM PERLANTIKAN PROFESOR: SAYA DI SINI KERANA USM!

DSC 4162

NIBONG TEBAL, 2 Oktober 2019 – Syarahan Umum Perlantikan Profesor Ir. Dr. Nor Ashidi Mat Isa di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi ruang kepada pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) ini untuk menyampaikan ilmu dan menghargai mereka yang telah menjadi tulang belakang beliau selama ini.

Ashidi yang merupakan graduan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik tahun 1999 ini menyatakan bahawa USM banyak menyumbang kepada kejayaan beliau sehingga berada di kedudukan seperti sekarang.

Selain berterima kasih kepada kedua ibu bapa dan ahli keluarga, menurut Ashidi, USM juga telah membuka peluang kepada kejayaannya melalui pemberian geran-geran penyelidikan sepanjang kerjaya beliau selama 16 tahun ini.

Permulaan kerjaya beliau juga adalah apabila ditawarkan oleh universiti untuk mengikuti Skim Rancangan Latihan Kakitangan Akademik (RLKA) di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sebaik tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1999 sehingga dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya dan Profesor pada tahun 2009 dan 2015.

DSC 4153

DSC 4159

Anak kelahiran Tikam Batu, Kedah ini kemudiannya berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah beliau pada tahun 2003 di bawah seliaan Profesor Dr. Mohd Yusoff Mashor dalam bidang Kejuruteraan Elektronik (Rangkaian Neural) sebelum dilantik menjadi pensyarah PPKEE pada bulan Jun dalam tahun yang sama.

Bapa kepada dua orang cahaya mata ini turut berpendapat bahawa pelajar-pelajar di bawah seliannya wajar diberikan kredit di mana mereka telah berusaha gigih dalam menjalankan kajian demi kajian dan selaku penyelia, beliau hanya membimbing serta membantu mereka berlandaskan kepada kepakaran serta pengalaman seadanya.

Melalui syarahan yang bertajuk Sistem Diagnosis Perubatan Berbantukan Komputer, profesor yang telah menerbitkan lebih daripada 160 artikel penyelidikan ini menyatakan bahawa sistem ini tidak bertujuan untuk mengambil alih tugas personel perubatan namun lebih kepada sistem yang memberikan pendapat kedua kepada mereka bagi kes-kes dengan keputusan diagnosis yang berbeza.

DSC 4169

DSC 4180

Sistem-sistem yang dibina ini boleh dijadikan rujukan kepada pakar perubatan berdasarkan kelebihan seperti prestasi diagnosis yang tinggi, proses diagnosis yang bersifat lebih objektif serta mampu menyediakan keputusan dalam masa yang lebih singkat.

Namun, beliau turut menegaskan bahawa penyelidikan berterusan perlu dilakukan untuk memastikan kebolehterimaan sistem-sistem ini secara menyeluruh agar menepati semua kehendak dan etika di dalam bidang perubatan.

DSC 4191

Mengenai perancangan di masa akan datang, Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa PPKEE ini merancang untuk mengkomersialkan produk ciptaan beliau dengan lebih meluas agar ianya dapat membantu dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat di luar sana.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman