Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PENGARAH KAMPUS LUANG MASA BERTEMU PELAJAR BAHARU ANTARABANGSA

DSC 4042

NIBONG TEBAL – 30 september 2019 – Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, dalam kesibukan jadual beliau telah meluangkan masa untuk bertemu dan beramah mesra dengan pelajar baharu antarabangsa di sini hari ini.

Beliau yang baharu selesai menghadiri Konvokesyen Komemoratif dan Konvokesyen ke-57 universiti sebaik pulang dari satu lawatan kerja luar negara menjadikan pertemuan ini sebagai satu sesi perbincangan yang berkesan antara kedua pihak.

“Masalah bahasa lazimnya menjadi halangan utama kepada semua pelajar yang belajar di luar negara.

DSC 4020

“Namun, ianya akan dapat diatasi di USM kerana kita menyediakan kelas-kelas bahasa sebagai usaha untuk merapatkan jurang komunikasi yang wujud disamping membuka peluang kepada mereka untuk mempelajari bahasa baru selain daripada bahasa ibunda masing-masing,” kata beliau.

Azazi turut berpendapat bahawa mereka yang mendaftar sebagai pelajar di universiti luar negara masing-masing semestinya telah bersedia dari segi mental dan fizikal dalam mempersiapkan diri sepanjang beberapa tahun bergelar pelajar nanti.

DSC 4030

“Apatah lagi mereka ini yang kebanyakannya terdiri daripada belia yang sentiasa mempunyai semangat untuk menimba pengalaman baharu.

“Dengan sokongan positif daripada semua warga kampus, saya pasti akan mudah dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat serta budaya baharu di sini,” tambah Azazi.

Sesi perjumpaan Pengarah Kampus bersama 13 orang pelajar baharu antarabangsa kali ini turut dihadiri oleh beberapa orang pegawai dari Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) dan pelajar yang merupakan Pembimbing Pelajar Siswa Lestari (PPSL).

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni