Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KUMPULAN ADIKARMA AFTER MIDNITE PAMER PERSEMBAHAN CEMERLANG DI UTP

utp 8

PERAK, 20 Oktober 2019 - Kumpulan muzik Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Adikarma (After Midnite) telah berjaya mendapat tempat kedua dalam kategori persembahan terbaik di pertandingan Battle Of The Band ‘Euphonius 2019’ hari ini.

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria yang hadir menyaksikan program tersebut menyifatkan pertandingan ini sebagai satu medium berkesan kepada pelajar-pelajar kejuruteraan USM untuk mempamerkan bakat terpendam masing-masing.

“Kemenangan ini diharapkan dapat dijadikan contoh oleh pelajar-pelajar yang lain untuk terlibat dalam lebih banyak aktiviti seperti ini di masa akan datang.

“Selain menggalakkan mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti seumpamanya, ia juga diharap dapat menarik minat masing-masing untuk bergiat aktif, mewakili kampus dalam bidang kebudayaan,” kata Azazi.

Secara keseluruhan, 11 kumpulan muzik telah mengambil bahagian dalam pertandingan tahunan yang berlangsung di Center for Excellence in Teaching and Learning, Universiti Teknologi Petronas (UTP) ini.

Anugerah Pemain Drum Terbaik telah dimenangi oleh pelajar tahun satu kampus ini iaitu Johannes Tan Yue Shern dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM.

utp 2

Azazi turut memaklumkan bahawa beliau sedang dalam usaha untuk mewujudkan aktiviti yang melibatkan seniman jalanan (busker) dari kalangan pelajar kampus di Dataran Desasiswa dan sekitar Parit Buntar dalam masa terdekat.

“Kita sedia maklum bahawa kampus ini agak sunyi tanpa aktiviti-aktiviti sebegini di kalangan pelajarnya.

“Oleh yang demikian, saya akan memohon kerjasama daripada beberapa pihak, dari bahagian kebudayaan kampus khususnya untuk menggerakkan cadangan ini yang bukan sahaja akan mencungkil bakat pelajar-pelajar kita malah ianya juga diharap akan menonjolkan lagi keupayaan mereka kepada masyarakat di luar sana,” tambah beliau.

Kumpulan After Midnite dianggotai oleh Nurul Izzah Abd Bashid selaku Penyanyi Utama, Raziq Abdul Latiff (Gitar), Johannes Tan Yue Shern (Drum), Syed Amani Al-Shahab Syed Fadil (Gitar) dan Mohd Hafiz Abdul Halim (Bass).

utp 5

Teks: Mohd Nur Badri Mohd Nazli dan Siti Faizah Abd Halim / Foto: Mohd Nur Badri Mohd Nazli