Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PUSAT ISLAM SEDERHANA TAPI MERIAH

Pusat Islam 2174

NIBONG TEBAL, 13 Ogos 2015 – Hampir 200 warga kampus dan masyarakat setempat menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia di sini semalam.

Dengan tema “Majlis Gema Aidilfitri” pada tahun ini Pusat Islam menyediakan pelbagai jenis juadah seperti nasi tomato, bihun sup, cendol, lemang dan rendang untuk dinikmati dan paling menarik semua juadah tersebut adalah hasil gotong royong secara bersama-sama dalam kalangan warga kampus dan kakitangan syarikat pencucian.  

Program yang berlangsung di Ruang Legar, Pusat Islam itu merupakan program tradisi di sini setiap tahun bagi menghargai dan meraikan Ahli Jawatankuasa Aktiviti Ramadan Peringkat Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia yang bertungkus-lumus menyediakan juadah berbuka puasa semasa bulan Ramadan yang lalu.

Selain itu, majlis diserikan lagi dengan kehadiran penceramah jemputan iaitu Y.Bhg. Ustaz Roslan Che Ros dalam menyampaikan ceramah bertajuk “Gema Aidilfitri, Gema Kemenangan”.

Pusat Islam DSC2161

Menurut beliau, Syawal di sambut bagi meraikan kemenangan kita di bulan Ramadan dalam mengangkat darjat dan ketaqwaan yang tinggi disisi Allah SWT.

“Hari raya bukan sahaja berpakaian baru, makan makanan yang sedap-sedap tetapi ia adalah kemenangan bagi orang yang taqwanya bertambah disisi Allah SWT”, kata Ustaz Roslan Che Ros.

Tambahnya lagi, “sabar itu adalah asas ramadan dan kemenangan bagi seseorang umat itu adalah berjaya mempertahankan kemenangannya semasa ramadan dalam melawan hawa nafsu selepas ramadan”.

Pusat islam 2164

“Sebagai kesimpulan, untuk mengelakkan kita daripada melakukan kesalahan dan kesilapan, sentiasalah mengingati bahawa Allah SWT itu sentiasa berada disisi kita dan melihat apa sahaja yang kita lakukan” katanya sebelum mengakhiri ceramah.

Sementara itu, menurut Ketua Unit, Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan, Ustaz Mohammad Shukri Osman, sebahagian jamuan dan juadah yang disediakan itu adalah hasil sumbangan Ahli Jawatankuasa Aktiviti Ramadan Peringkat Kampus Kejuruteraan.
“Saya berharap agar majlis sebegini akan diteruskan pada masa depan bagi mengeratkan lagi silaturahim dan memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan warga kampus amnya dan juga masyarakat khususnya”, katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Malasysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Muhammad Idiris Saleh, dekan-dekan, ketua-ketua jabatan dan para pelajar.

Teks: Norafiza Osman / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin