Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

“NIAT IKHLAS KUNCI KEJAYAAN PROGRAM SISWA LESTARI” KATA PENGARAH KAMPUS

MSS 850637554 7260

NIBONG TEBAL, 27 Ogos 2015 – Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak menyatakan bahawa niat yang ikhlas merupakan kunci kepada kejayaan Program Siswa Lestari (PSL) Sidang Akademik 2015/2016 kepada 32 tenaga penggerak dalam kalangan pelajar tahun dua dan tiga di sini semalam.

MSS 850635235 6880“Semua pelajar yang terpilih sebagai tenaga penggerak ini merupakan yang terbaik dalam kalangan terbaik”, katanya ketika menyampaikan ucapan aluan dalam sesi perjumpaan bersama Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL).   

“Oleh itu, saya berharap saudara saudari dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik sempena menyambut kedatangan pelajar baharu bermula pada 31 Ogos 2015”, tambah Zainal .

Beliau turut mengajak semua tenaga penggerak supaya mengimbau semula kenangan ketika hari pertama mula menjejakkan kaki ke kampus ini seterusnya menyeru supaya mereka dapat memberikan khidmat sebaik mungkin kepada adik-adik pelajar baharu yang sudah pasti akan hadir bersama ibu bapa dan keluarga.

“Kita perlu bersedia dan cuba selesaikan sebarang masalah yang dihadapi pelajar mahupun ibu bapa sebaik mungkin,” katanya lagi.

Tambah Zainal, “semua pembimbing program siswa lestari perlu bersabar dan bekerja dalam satu pasukan demi memastikan program sambutan pelajar baharu pada kali ini berjalan lancar”.

Tegas beliau, semua yang terlibat dalam progrom tersebut dapat menjaga imej universiti dengan semangat satu USM dan memastikan larangan menggunakan tenaga penggerak atau pembantu pelajar selain daripada Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) di dalam kampus sepanjang tempoh program dipatuhi.

Menurut Pengarah Program, Mohammad Arif Rinaldi, 21, berkata beliau dan rakan-rakannya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik seterusnya memastikan program berjalan dalam keadaan yang harmoni dan ceria.

“Kami sudah bersedia menyambut kedatangan pelajar baharu pada tahun ini dengan pelbagai program yang pasti menyeronokkan seterusnya akan menjadi memori indah dalam hidup mereka”, kata pelajar tahun tiga, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik itu .

MSS 850635947 7397

Kampus Kejuruteraan dijangka akan menerima sekitar 600 pelajar baharu bagi Sidang Akademik 2015/2016 iaitu melebihi bilangan kemasukan pada tahun yang lalu.

Perlaksanaan program ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai latar belakang universiti seterusnya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran sebelum mereka memulakan kehidupan sebagai mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM).

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Muhammad Thaariq Othman