Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SESI PENDAFTARAN PELAJAR BAHARU DI KEJURUTERAAN BERJALAN LANCAR

NIBONG TEBAL, 1 September 2015 – Proses pendaftaran pelajar baharu Sidang Akademik 2015/2016 di Kampus Kejuruteraan bermula semalam berjalan lancar di desasiswa dan taklimat ibu bapa oleh penggawa di Pusat Pembangunan Siswa (PUMA) bagi permulaan Program Siswa Lestari Sidang Akademik 2015/2016.

Menurut Ketua Unit, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA), Kampus Kejuruteraan, Nur Akmar Idris berkata terdapat peningkatan bilangan pelajar yang mendaftar pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

“Setakat ini bilangan pelajar yang mendaftar adalah memuaskan dan semua program yang diatur pada hari ini berjalan lancar”, kata Nur Akmar.

Pihaknya bersyukur kerana semua staf dan tenaga penggerak program siswa lestari dapat memberikan komitmen dan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan begitu baik sekali walaupun hari ini merupakan hari cuti umum.

Rohisham Morat, 43, bapa kepada salah seorang pelajar yang mendaftar sebagai pelajar baharu dalam bidang Kejuruteraan Kimia, berkata beliau bersyukur kerana anaknya berjaya meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang yang diminatinya.

“Saya harap dia dapat mengejar cita-cita yang diimpikan sejak dari kecil lagi seterusnya menyumbang bakti kepada negara”, kata bapa muda yang bekerja sebagai Chef di Hotel Rasa Sayang, Pulau Pinang itu.

Nur Syazwani Rohisham, 19, pula berkata dia telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk meneruskan pengajian di USM.

“Saya yakin dapat mengatasi segala cabaran yang bakal ditempuhi sepanjang bergelar mahasiswa USM dan berhasrat menyambung pangajian sehingga ke pringkat PhD”, kata Nur Syazwani.

Sementara itu, Saravanan a/l Thunshkodi, 19, turut gembira kerana telah terpilih sebagai pelajar dalam bidang yang sangat diminatinya iaitu Kejuruteraan Aeroangkasa.

“Saya percaya, bidang Kejuruteraan Aeroangkasa di USM berada di tahap pertama dalam negara kita dan saya yakin telah membuat pilihan yang tepat dalam meneruskan cita-cita menjadi jurutera yang hebat satu hari nanti”, kata Saravanan yang merupakan bekas pelajar Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang.

Aktif dalam sukan bola sepak semasa di kolej tidak mengalang anak bongsu kepada pasangan Thunshkodi a/l Chithambaram dan Gomathi a/p Sababathy itu mendapat keputusan cemerlang semasa menamatkan pengajiannya di matrikulasi iaitu dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.

Bagi Ng Chuang Hou, 20, anak seorang penjual sayur yang berasal dari Kantan baru, Chemor, Perak kehidupan keluarga dalam kesederhanaan tidak menghalang beliau untuk menjadi sebahagian daripada pelajar Kejuruteraan Elektronik yang mendaftar diri semalam.

Chuang Hou yang kelihatan gembira memaklumkan bahawa dia telah menerima dua tawaran iaitu dari USM dan UTM. Walau bagaimanapun, pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dari St. Michael's Institution, Ipoh itu memberitahu bahawa telah memilih USM kerana mengetahui bahawa USM merupakan antara universiti terbaik di dunia.

“Janji saya kepada kedua ibu bapa adalah untuk belajar bersungguh-sungguh dan dapat membalas segala jasa mereka”, kata Chuang Hou.

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak dan Timbalan Pendaftar, Kampus Kejuruteraan, Anuar Ibrahim turut serta meninjau proses pendaftaran pelajar baharu dan sempat beramah mesra dengan ahli keluarga yang mengiringi mereka.

Kehadiran Pengarah telah memberi erti yang besar dan semangat kepada para pelajar, ibu bapa dan staf yang bertugas terutama kepada Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) semasa proses pendaftaran berlangsung.

Kampus yang agak sunyi sebelum ini dengan ketiadaan pelajar yang bercuti panjang berubah menjadi meriah dengan kehadiran ibu bapa dan ahli keluarga yang turut bersama-sama menghantar anak mereka mendaftar diri di USM.

Seramai 673 orang pelajar baharu ijazah sarjana muda bagi program kejuruteraan mendaftar diri sebagai mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) termasuk 47 orang pelajar golongan tercicir (Bottom Billion) pada tahun ini.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin