Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

“DATANG DENGAN HARAPAN, PULANGLAH DENGAN KEJAYAAN” - ISKANDAZAQWAN ZIKRULLAH ZAINUDIN

MSS NYPD DSC3582

NIBONG TEBAL, 3 September 2015 – Majlis Sambutan Siswa yang merupakan salah satu pengisian Program Siswa Lestari Sidang Akademik 2015/2016 disambut meriah disini semalam.

Majlis yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan itu diadakan bertujuan untuk memperkenalkan ahli-ahli tertinggi universiti dan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai latar belakang universiti.

Berucap pada majlis tersebut, Naib Yang Di Pertua (NYDP), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia, Iskandazaqwan Zikrullah Zainudin berkata, semua pelajar perlu berasa bersyukur dan berbangga kerana telah berjaya melangkah masuk ke universiti pertama negara berstatus universiti APEX yang merupakan universiti terbaik dalam segala aspek.

MSS NYDP DSC3543

Iskandazaqwan turut mengucapkan tahniah serta mengalu-alukan kedatangan semua pelajar baharu itu ke USM.

Menurutnya lagi, MPP sentiasa bersama universiti untuk melahirkan mahasiswa dan graduan yang cemerlang kearah pemikiran global seterusnya mampu bersaing dalam alam pekerjaan bukan saja diperingkat tempatan malah diperingkat antarabangsa.

Tambahnya lagi “universiti adalah tempat terbaik untuk membina jati diri dan nilai-nilai murni seperti hormat menghormati, bertoleransi, kerjasama dan saling sayang menyayangi antara satu sama lain”.

Pihaknya sentiasa mengambil berat mengenai hal ehwal kebajikan mahasiswa agar mahasiswa dapat menikmati persekitaran kampus yang kondusif dan sejahtera.

Datang dengan harapan, pulanglah dengan kerjayaan, kita semua merupakan harapan keluarga, bangsa dan tanah air yang merupakan cerminan negara pada masa akan datang merupakan kata-kata akhir anak muda yang berasal dari Pantai Timur itu sebelum mengakhiri ucapannya.

MSS NYPD DSC3536

Pada majlis yang sama, berlangsungnya penyerahan ikrar akujanji pelajar baharu kepada Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustafa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Adnan Hussein dan Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Ariffin Mohd Ishak.


Teks: Norafiza Osman / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin