Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

IBADAH KORBAN ERATKAN UKHWAH

Qurban 5609

NIBONG TEBAL, 26 September 2015 – Ibadah korban bukan sahaja dapat mengeratkan ukhwah malah menyuburkan semangat kerja berpasukan dan gotong-royong dalam kalangan umat Islam.

Sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) tidak ketinggalan melaksanakannya dengan mengorbankan 11 ekor lembu di sini semalam.

Qurban 5597

Ketua Unit Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan, Ustaz Mohammad Shukri Osman berkata penyertaan melibatkan kakitangan akademik dan bukan akademik, pelajar, komuniti serta warga luar kampus.

“Acara tahunan yang diadakan di sini berlangsung dalam suasana kekeluargaan dan dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama umat Islam selaras dengan tuntutan agama”, kata Mohammad Shukri.

Tegasnya, sifat kemanusiaan perlu wujud dalam diri manusia kerana sebagai makhluk Allah SWT yang bernama manusia, kita perlu hidup bermasyarakat dan saling tolong menolong serta memerlukan antara satu sama lain.

Hujah tersebut selari dengan Surah Al-Maaidah, Ayat 2 yang bermaksud:


“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi'ar-syi'ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya, dan binatang-binatang qalaa-id, dan jangan (pula) mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan dari Tuhannya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu. Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum karena mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.

Qurban 5561

“Semoga ibadah korban ini diterima Allah SWT dan nilai pengorbanan sentiasa subur dalam kerjaya demi membina Universiti Sains Malaysia sebagai Universiti APEX yang tersohor bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah antarabangsa”, tambah Mohammad Shukri lagi.

Daging lembu korban tersebut diagihkan kepada 250 penerima yang layak menerima sumbangan terdiri daripada kakitangan gred 16 ke bawah dan kakitangan pencucian kampus.

Qurban 5605

Program korban yang berlangsung di Pusat Islam Kampus Kejuruteraan itu berjaya dilaksanakan dalam suasana meriah dengan kehadiran lebih 150 petugas terdiri dalam kalangan warga kampus dan masyarakat setempat.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin