Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SERAMAI 300 ORANG BANJIRI CERAMAH DR. MOHD SHUKRI

Dr Shukri 01

NIBONG TEBAL, 8 Oktober 2015 – Seramai 300 orang membanjiri Auditorium, Kampus Kejuruteraan dalam sesi ceramah secara interaktif bertajuk “Cabaran dan Panduan Mendidik Anak Di Zaman Digital” oleh Pakar Motivasi TV, Dr. Mohd Shukri Abdullah di sini semalam.

Ceramah anjuran bersama Persatuan Staf Islam (PSI), Kesatuan Kakitangan Am (KKAUSM) dan Kelab Kebajikan & Sukan Staf Kejuruteraan (KKSSK) itu bukan sahaja dihadiri staf USM malah dari agensi kerajaan dan masyarakat sekitar.

Menurut Dr. Shukri, ibu bapa perlu memanfaatkan sepenuhnya kesempatan yang diberikan ini untuk mendidik anak-anak kearah kebaikan atau keburukan.

Dr Shukri 5806

Katanya, “ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak berlainan dengan cara mereka di didik kerana anak-anak masa kini berada dalam persekitaran yang sangat berbeza berbanding sebelumnya”.

“Banyak yang telah berubah, masalah juga berubah, cabaran turut berubah dan tindakan ibu bapa juga kena berubah”, katanya lagi.

Jelasnya lagi “Cabaran dan panduan dalam mendidik anak-anak di zaman digital memerlukan ketegasan ibu bapa dalam menyediakan peraturan yang perlu diikuti seperti pemantauan penggunaan telefon bimbit canggih dan berteknologi”.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr. Shukri berkata, “penggunaan telefon bimbit sangat tidak terbatas dimana mereka dapat memperolehi sebarang maklumat dan pelbagai video dengan mudah hanya dihujung jari mereka”.

Sementara itu, menurut Setiausaha Pejabat, Pejabat Pendaftar, Kampus Kejuruteraan, Syamimah Rohalim berkata sebagai seorang ibu muda beliau merasakan bahawa mendidik anak perlu dimulakan daripada anak itu masih kecil agar apabila mereka sudah membesar mereka dapat menerima nasihat dan larangan yang diberikan oleh ibu bapa.

Dr Shukri 5823

“Pelbagai teknologi dan peralatan canggih seperti telefon bimbit diberikan kepada anak-anak dengan mudah dan sebenarnya perkara itu adalah tidak perlu kerana banyak keburukan daripada kebaikan yang akan diterima oleh anak dikemudian hari”, katanya.

Dalam pada itu, Pembantu Tadbir, Jabatan Bendahari, Puan Zaiton Abu Kasim turut bersetuju dengan Syamimah yang mana terdapat perbezaan cara dalam mendidik anak-anak pada masa kini berbanding sebelumnya.

“Bagi saya, semua peralatan canggih ini boleh melalaikan dan juga merenggangkan hubungan sesama keluarga sekiranya tidak digunakan dengan betul”, kata Zaiton.

Turut hadir dalam ceramah ini adalah Pengerusi Persatuan Staf Islam, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Roslan Ahmad dan Ketua Unit Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan, Ustaz Mohammad Shukri Osman.

Teks: Norafiza Osman / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin