FAISAL LALUI PENGALAMAN TIDAK DIDUGA

Faizal 1707

NIBONG TEBAL, 22 Jun 2015 – Seorang staf Jabatan Keselamatan, Kampus Kejuruteraan, Ahmad Faisal Mohd melalui pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila beliau terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk memulakan tugas malam tadi.

Ahmad Faisal, 38, berkata kejadian tersebut berlaku terlalu pantas dan apabila sedar beliau sedang diberi rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Parit Buntar, Perak.

“Saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius dan menerima dugaan ini dengan hati yang tabah”, kata Ahmad Faisal ketika ditemui di Wad Anggerik hospital yang sama.

Faizal 1710

“Kebiasaannya hari raya saya akan ambil dua atau tiga hari cuti untuk balik kampung tetapi kali ini saya tak perlu memohon cuti lagi sebab saya dapat cuti panjang”, kata Ahmad Faisal sambil tersenyum.

Katanya, insiden kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 10.30 malam di jalan besar berdekatan pintu utama Kampus Kejuruteraan itu telah mengakibatkan beliau mengalami kecederaan di beberapa bahagian muka serta patah tangan kiri.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata berusia lima hingga dua belas tahun itu, beliau turut menerima lima jahitan dibahagian dahi dan dua belas jahitan dibahagian mulut akibat daripada kemalangan yang disifatkan sebagai langgar lari.

Menceritakan detik kejadian, beliau yang menaiki motosikal tidak dapat mengelak dari sebuah kereta jenis proton wira yang secara tiba-tiba membuat pusingan U pada lorong haram pembahagi jalan di tempat kejadian.

Faizal 1706

Sementara itu, Ketua Unit Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan, Ustaz Mohammad Shukri Osman berkata ramadan adalah bulan untuk kita bersama-sama berkongsi kegembiraan dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Beliau hadir bersama beberapa petugas aktiviti ramadan turut mengedarkan sebanyak 40 bungkus bubur lambuk kepada setiap pesakit dan kakitangan yang bertugas di wad yang terbabit.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin