MPP DIRAI DALAM SATU MAJLIS KHAS

MPP 5942

NIBONG TEBAL, 20 Oktober 2015 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan yang baharu bagi sidang akademik 2015/2016 dirai dalam satu majlis makan tengah hari bersama dengan mantan MPP bagi sidang yang lalu di Dewan Bankuet di sini hari ini.

Mereka yang terdiri dalam kalangan pelajar tahun dua dan tiga dari pelbagai latar belakang dan pusat pengajian terlebih dahulu sempat berjumpa dengan Pengarah Kampus Kejuruteraan dalam sesi dialog yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pejabat Kualiti dan Akreditasi.

Beliau mengucapkan tahniah kepada wakil pelajar yang terpilih untuk menjadi sebahagian daripada Majlis Perwakilan Pelajar bagi sidang tersebut.

“Kita perlu menerima pelantikan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersedia untuk memberi khidmat selaku wakil kepada seluruh mahasiswa khususnya di Kampus Kejuruteraan ini”, kata Zainal Arifin dalam ucapan aluannya sebelum sesi dialog bermula.

MPP 5949

Tegas Zainal Arifin, selaku MPP mereka tidak boleh mempolitikkan agenda pelajar kerana ia tidak akan memberi faedah kepada mereka malah akan menyebabkan kerugian kepada pelajar itu sendiri.

“MPP mempunyai tanggungjawab yang besar dalam sesebuah universiti dan oleh itu kita perlu bergerak sebagai satu pasukan”, tambah Zainal Arifin.

Beliau yang merupakan mantan penggawa sebelum ini banyak berkongsi pengalaman dan nasihat dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hal ehwal pelajar untuk dijadikan sebagai panduan dan pedoman kepada generasi yang baru ini.

Sementara itu, Pengerusi MPP Kampus Kejuruteraan bagi sidang akademik 2015/2016, Mohamad Razif Mohd Ramli menyatakan bahawa mereka akan bekerja sebagai satu pasukan yang mantap dan bersedia memberi khidmat kepada para pelajar.

“Kami akan bersusaha dan cuba sedaya upaya untuk bergabung dengan semua pelajar dari pelbagai kaum dalam merancang dan mengadakan program yang dapat memberi manfaat kepada mahasiswa USM”, kata pelajar tahun dua, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia itu.

Hadir sama dalam sesi dialog, Timbalan Pendaftar Kampus Kejuruteraan, Tuan Haji Anuar Ibrahim, Penggawa Desasiswa serta beberapa Pegawai Kanan Universiti.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin